PM mahu korporat, IKS bantu golongan OKU

PM mahu korporat, IKS bantu golongan OKU

SHAMSUL ISKANDAR Mohd. Akin menyampaikan hadiah kepada pemenang basikal berhias Program Semarak Merdeka Madani 2024 PPDK di Jasin Bestari, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat korporat dan pengusaha perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) membantu golongan orang kurang upaya (OKU) memajukan diri mereka.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, bantuan dalam bentuk kewangan atau barangan dapat meringankan beban golongan berkenaan.

Menurutnya, mengambil contoh pencapaian atlet paralimpik negara di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berjaya meraih pingat untuk kontinjen Malaysia membuktikan bantuan dan sokongan pelbagai pihak amat memainkan peranan.

“Sebab itu Perdana Menteri menunjukkan keprihatinan beliau kepada atlet paralimpik dengan memberikan pelbagai kemudahan dan dorongan kerana kejayaan mereka itu patut menjadi contoh. Ini patut dicontohi oleh semua pihak terutama syarikat korporat dan IKS dapat sama-sama memberikan sumbangan.

“Melalui penglibatan semua pihak, Perdana Menteri mahu melahirkan satu masyarakat yang prihatin menanam prinsip dalam Keluarga Malaysia Madani,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Semarak Merdeka Madani 2024 di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Jasin Bestari di sini, hari ini.

Tambah Shamsul, rakyat Malaysia perlu bangga dengan keupayaan atlet paralimpik negara memenangi pingat emas kerana ia merupakan kejayaan besar dan menjadi satu cerita kebanggaan masyarakat.

“Aktiviti golongan OKU perlu disokong walaupun acara yang dianjurkan agak sederhana tetapi ia sebenarnya telah menarik perhatian Perdana Menteri, sejajar dengan gagasan membangunkan Malaysia Madani hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Kelmarin, Anwar mengucapkan tahniah kepada pemain perseorangan lelaki, Cheah Liek Hou selepas jaguh badminton para negara itu menyumbang pingat emas pertama di Paris.

Perdana Menteri turut menyatakan rasa bangga ekoran kejayaan Liek Hou muncul juara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) serta berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Anwar juga mengucapkan tahniah kepada Muhammad Ziyad Zolkefli yang meraih pingat perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan melakukan balingan sejauh 17.18 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN