KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah tidak menjanjikan bulan dan bintang semata-mata mahu meraih undi untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Justeru, menurutnya, manifesto yang akan ditawarkan kepada rakyat di DUN Mahkota adalah bersifat realistik dan mampu ditunaikan.
“Manifesto BN sedang dirangka dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Antara yang kita masukkan dalam manifesto adalah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030).
“Ini kerana pelan dan dasar pembangunan Johor itu sudah cukup untuk memberi manfaat kepada rakyat Kluang. Kita tidak janjikan bulan dan bintang,” katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Orang Mahkota, di sini hari ini.
Dalam program dua hari yang bermula hari ini, Syed Hussien berkesempatan menemui orang ramai yang menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Antara aktiviti dianjurkan ialah Jualan Kasih Johor di Taman Makmur dan Sekolah Kebangsaan Batu 3, di sini. – UTUSAN