ADUN Sungai Udang diberi masa seminggu padam video IPD

ADUN Sungai Udang diberi masa seminggu padam video IPD dijual

FAIRUL NIZAM Roslan menyampaikan bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Mara 2024 di Dewan Besar ILP Selandar, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof diberi masa tujuh hari bermula hari ini untuk memadam klip video di akaun TikTok miliknya berkenaan dakwaan bahawa, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir di sini telah dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Mohd. Aleef juga diminta membuat permohonan maaf kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang dikaitkan dengan penjualan berkenaan.

Tegasnya, sebagai seorang wakil rakyat Mohd. Aleef sepatutnya menyertakan bukti kukuh sebelum menyebarkan sebarang dakwaan.

“Saya amat bersedih dengan sifat YB (yang berhormat) Aleef yang mengatakan kerajaan negeri, seolah-olah zalim kepada anggota polis. Tidak berlaku pun, malah Ketua Menteri mendengar keluh kesah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehinggakan kita bantu hendak selesaikan masalah mereka.

“Kalau benarlah penjawat awam di Melaka ini dizalimi, sila kemukakan bukti dan saya minta kepada YB Aleef Sungai Udang, saya bagi masa tempoh satu minggu bermula hari ini, tujuh hari untuk menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri.

“Jika tidak melakukan sedemikian, saya tidak akan teragak-agak berbincang dengan pihak atasan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap yang berhormat Sungai Udang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Mara 2024 di Dewan Besar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri menyifatkan dakwaan yang disebarkan melalui platform TikTok dan Telegram berkenaan IPD Melaka Tengah di Banda Hilir dipindahkan ke bangunan sementara di Batu Berendam kerana bangunan asal itu telah dijual sebagai fitnah ‘dangkal’.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mewakili Ketua Menteri berkata, adalah mustahil untuk tanah itu dijual kepada mana-mana pihak kerana ia tidak dimiliki kerajaan negeri, sebaliknya milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) (JKPTG).

Tegasnya, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini juga telah memutuskan bahawa bangunan itu bakal dijadikan sebagai muzium polis selepas dikosongkan sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya