SETIAP wakil rakyat mempunyai pendekatan dan cara tersendiri apabila memperkatakan tentang gerak kerja di kawasan masing-masing. Tidak terkecuali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah. Gayanya cukup unik dan santai tanpa sebarang protokol.
Cukup sekadar menaiki kereta antik Mini Mock berceloreng, hampir seluruh pelosok Tanjung Sepat di jelajahnya bagi mendekati penduduk. Itulah pendekatan beliau yang boleh ditemui pada setiap masa tanpa mengira tempat jika tiada urusan rasmi.
Dengan pendekatan sedemikian, beliau cukup disenangi penduduk tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Malah, ADUN yang memegang kawasan tersebut selama dua penggal itu yakin kaedah santai termasuk dengan menghadiri kenduri atau menziarahi kematian, lebih membuatkan dirinya dekat dengan penduduk.
“Biasanya saya akan masuk ke kampung-kampung dengan kereta antik dan rakyat lebih suka dengan cara sebegini. Bukan itu saja. Apabila saya berjalan, tidak ada orang saya ‘escort’ dan tiada protokol.
“Tambahan pula saya duduk di tempat kelahiran walaupun saya disediakan rumah sebagai seorang Exco Perumahan dan Kebudayaan, penduduk mahukan saya ada di kawasan. Orang kampung ini bukan hendak duit ringgit kita tapi nak kita ada di kawasan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam pada itu, Borhan berkata, kedudukan DUN Tanjung Sepat yang berhampiran pantai mempunyai banyak potensi dalam aspek agro pelancongan.
Justeru, beliau ada strategi dan sasaran dalam memastikan sektor itu mampu memberi impak tinggi sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk.
“Saya merancang untuk membeli trem bagi memperkenalkan orang luar kepada kampung di sekitar Tanjung Sepat. Saya mahu pastikan ada sesuatu yang dibawa pulang pengunjung apabila datang ke Tanjung Sepat.
“Tambahan pula di sini banyak produk industri kecil dan sederhana (IKS) seperti pembuatan kerepek dan Kopi 3K (kopi Kampung Kundang). Mereka juga boleh menikmati suasana kampung sebenar apabila datang di sini,” jelasnya.
Justeru, beliau pada masa sama meminta agar penduduk kampung bersedia dalam semua aspek bagi memastikan kehadiran pengunjung dapat ditampung tanpa ada isu berbangkit.
Malah kata Borhan, satu karnival tiga hari dua malam akan diadakan pada September depan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Ini antara karnival terbesar dengan melibatkan pelbagai acara. Sebagai contoh, akan diadakan jualan dan sukan rakyat.
Nama: Borhan Aman Shah
Tarikh Lahir: 14 Mei, 1962
Pendidikan: Borneo Open International (Diploma Pentadbiran Perniagaan Pengajian Strategik)
Jawatan:
ADUN Tanjung Sepat
EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor
“Sekiranya berjaya ia akan dijadikan sebagai blue print kementerian untuk dianjurkan karnival seumpama di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Selain usaha meningkatkan ekonomi dan mengetengahkan produk IKS di Tanjung Sepat, beliau turut berusaha menangani masalah penduduk terutama membabitkan ladang babi dan ayam
“Isu yang berlaku adalah pencemaran akibat penternakan dan kita sedang usahakan agar semua penternak mencuba kaedah moden.
“Ini bermakna ladang babi ini dibuat secara tertutup dan sisa kumbahan diproses menjadi biogas,” katanya.
Beliau pada masa sama, turut memberi jaminan tiada lagi lesen penternakan ayam dikeluarkan pada masa sekarang untuk mengatasi masalah lalat.
Selain itu, katanya, beberapa anjuran kursus juga telah dilaksanakan untuk semua penternak dalam aspek penyelenggaraan reban.
“Bagi penternak yang tidak ikut prosedur pula, mereka akan disaman dan sekiranya melebihi tiga kali saman, reban mereka akan ditutup.
“Ini disebabkan ia mengganggu ekonomi penduduk setempat.
“Sebagai contoh ada rumah inap desa yang tidak dikunjungi kerana terlalu banyak lalat. Malah bengkel mengecat kereta juga berdepan masalah kerana lalat melekat pada kereta yang siap dicat,” terangnya. – UTUSAN