Semua jawatan Ginie Lim dalam MPN Melaka digantung

Semua jawatan Ginie Lim dalam MPN Melaka digantung

GINIE LIM SIEW LIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penggantungan 12 bulan yang dikenakan terhadap Ketua PKR Cabang Alor Gajah, Ginie Lim Siew Lin yang berkuat kuasa 7 Januari lalu turut melibatkan semua jawatan disandangnya dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi MPN Melaka, Mohd. Rafee Ibrahim berkata, Ginie telah dikeluarkan daripada kumpulan aplikasi WhatsApp MPN Melaka atas permintaan Lembaga Disiplin PKR.

MOHD. RAFEE IBRAHIM

Katanya, Ginie masih boleh menghadiri atau menyertai sebarang program dianjurkan PKR tetapi hanya sebagai ahli biasa dan dilarang menggunakan kuasa kedudukannya sebelum ini.

“Semua jawatan beliau sebagai Naib Pengerusi MPN Melaka, biro politik dan Ketua Cabang Alor Gajah telah digantung. Dia juga dikeluarkan dari kumpulan WhatsApp kerana tidak lagi boleh bertindak sebagai individu yang membuat keputusan dan undian.

“Bagaimanapun beliau masih boleh bertindak sebagai ahli biasa kerana dia hanya digantung dan bukannya dipecat dari PKR. Perkara ini telah dinyatakan jelas dalam klausa hukuman,” katanya ketika dihubungi.

Lembaga Disiplin PKR yang bermesyuarat pada 7 Januari lalu membuat keputusan menggantung jawatan Ginie dan notis bagi memaklumkan mengenai perkara itu telah dihantar kepada MPN Melaka pada 29 Januari 2024.

Keputusan itu dicapai selepas lembaga disiplin berpuas hati dengan bukti yang dikemukakan dan mendapati Ginie melanggar perlembagaan parti.

Ginie didakwa membuat kenyataan mempertikaikan pemilihan calon kerusi Parlimen Alor Gajah dan mengetuai provokasi semasa Program Jelajah Harapan Presiden PKR pada 25 Oktober 2023 di Sungai Petai, Alor Gajah dekat sini apabila terdapat ahli PKR memakai baju yang mempamerkan wajahnya sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Alor Gajah, Abdul Rashid Dahaban dilucutkan keahlian atas kesalahan berkempen untuk calon Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum lalu manakala P. Denesh dan Timbalan Ketua PKR Cabang Alor Gajah, Badrohisham Omar diberi amaran kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan pimpinan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya