ALOR GAJAH: Ketakutan pelabur asing terhadap jangka hayat sesebuah kerajaan Persekutuan di negara ini bakal terpadam seandainya rang udang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen direalisasikan seperti diutarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pertukaran kerajaan pada 2018 daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) boleh dijadikan sandaran yang mana pelbagai projek berkualiti tinggi dibatalkan, lantas menjejaskan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
Jelasnya, RUU itu juga akan melindungi mana-mana parti yang memperoleh mandat rakyat melalui pilihan raya sehingga tamat penggal.
“Saya melihat bahawa perlu ada RUU ini kerana kestabilan politik dalam sesebuah negara adalah penting untuk kesejahteraan rakyat. Jadi apabila kerajaan stabil, maka ramailah pelabur-pelabur FDI.
“Untuk negara memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat yang kita pimpin. Kalau asyik bertukar, kita sudah ada pengalaman dahulu apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih kerajaan membatalkan projek-projek mega menyebabkan hilang keyakinan pelabur-pelabur yang berkualiti tinggi ini kepada Malaysia.
“Dan sekarang ini kalau kita tengok akibatnya banyak orang takut hendak datang berniaga di Malaysia ini sebab kerajaan yang tidak stabil ini. Jadi perlulah ada satu RUU supaya kerajaan yang dipilih dengan penuh mandat ini mesti dipelihara sehingga habis penggal,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, satu RUU penggal tetap Parlimen perlu diwujudkan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu juga dapat menjamin kestabilan negara memandangkan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.
Katanya, pengalaman pahit lalu menyaksikan negara berdepan ketidakstabilan politik ekoran pertukaran tiga Parlimen dalam satu penggal sehingga menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara. – UTUSAN