Rakan Kerajaan Perpaduan angkat UMNO setelah jatuh

Rakan Kerajaan Perpaduan angkat UMNO setelah jatuh

MOHAMED KHALED Nordin pada Majlis Ramah Mesra Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Bersama Veteran UMNO Bahagian Bakri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan akar umbi bahawa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan telah bersama-sama mengangkat semula UMNO yang telah jatuh dan kalah.

Beliau berkata, penyertaan UMNO dalam kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan parti itu terus melaksanakan dasar serta agenda orang Melayu, bumiputera dan negara.

Tegasnya, hingga ke hari ini, DAP tidak pernah mendesak UMNO menggugurkan agenda perjuangan serta meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak benar sama sekali dakwaan pihak pembangkang bahawa kedudukan Melayu dan Islam terancam di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

“Parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan inilah yang telah bersama-sama mengangkat semula UMNO setelah jatuh dan kalah. Apabila UMNO bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, dan rakan kita pula hendak bertanding, tidak mungkin kita buat tidak tahu pula.

“Kita ini manusia berbudi. Ingatlah bahawa parti-parti Kerajaan Perpaduan inilah yang berkawan dengan kita dan menjadikan kita sebahagian daripada kerajaan. Sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang membolehkan kita melaksanakan dasar dan agenda orang Melayu, bumiputera dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Bersama Veteran UMNO Bahagian Bakri di sini, hari ini.

Tambah Mohamed Khalid, pertuduhan di mahkamah yang dihadapi Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hanyalah satu bentuk penganiayaan untuk melemahkan UMNO.

Ujarnya, setelah UMNO lemah, impaknya bakal menyebabkan akar umbi hilang keyakinan, keliru dan tidak komited memastikan kemenangan parti, termasuk dalam soal kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pada ketika itu memang mereka hendak menganiaya kita kerana mereka percaya bahawa sekiranya Presiden UMNO lemah, UMNO secara sendirinya akan menjadi lemah.

“Semua ini memang dilakukan sedemikian rupa untuk melemahkan UMNO supaya orang UMNO sendiri tidak yakin, keliru dan tidak komited memastikan kemenangan parti, termasuklah dalam soal kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. Katakanlah Presiden UMNO tidak dituduh di mahkamah dari awal dahulu, adakah setiap tindakannya akan dipertikaikan?,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN