MUAR: Sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan, namun DAP tidak akan mengubah dasar perjuangan parti semata-mata untuk meraih kemenangan khususnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana ia dianggap tidak munasabah.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai prinsip perjuangan masing-masing, walaupun bekerjasama dalam satu gabungan politik.
Katanya, apabila membentuk kerajaan, persefahaman telah dicapai menerusi perjanjian, justeru ia tidak melibatkan soal prinsip dan perlembagaan mana-mana parti.
“DAP tak pernah minta parti lain untuk pinda perlembagaan mereka, jadi bagi kita parti ada prinsip dan ideologi masing-masing tapi apa yang penting kita bentuk kerajaan dan bekerjasama atas beberapa parameter.
“Paling penting kita mempertahankan Perlembagaan, beberapa perkara pokok asas yang menjadi kebimbangan orang Melayu, kita mendukung prinsip tersebut termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Perkara 153, dan kedudukan Raja-Raja Melayu, semua perkara ini sudah dijelaskan dengan sejelas-jelasnya,” katanya kepada pemberita selepas selesai ceramah kelompok di Wisma DAP Bakri di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendesak DAP membuat perubahan besar untuk mencapai kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), jika benar-benar mengharapkan sokongan orang Melayu melalui kerjasama dengan UMNO.
Katanya, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu selain daripada DAP menggugurkan agenda negara sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ dalam perlembagaan parti mereka.
Jelasnya, orang Melayu hanya ada dua pilihan sama ada beralih sokongan secara menyeluruh kepada Pas atau menerima kembali UMNO, justeru meminta DAP membantu memulihkan UMNO untuk kembali menjadi parti utama seperti sebelum 2018.
Tambah Anthony, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri berpuas hati dengan penjelasan DAP sebelum bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.
“Jadi bab ini tidak payah diungkit-ungkit lagi, tidak payah buat polemik seperti ini yang hanya jejaskan keyakinan orang ramai,” katanya.
Jelasnya, beliau menganggap setiap parti dalam kerajaan perlu berusaha mendapatkan sokongan pengundi, bukan hanya DAP semata-mata.
“Kita tahu cabaran untuk dapatkan sokongan Melayu, tapi kawasan saya majoriti pengundi Melayu tapi saya menang, jadi tidak timbul DAP tidak boleh dapat sokongan Melayu, ya kita kena berusaha dan ada cabaran tapi tak bermaksud DAP ditolak Melayu semata-mata.
“Kawasan saya majoriti pengundi Melayu lebih ramai, sama ada di Parlimen Seremban atau DUN Chennah di Negeri Sembilan tapi kita menang dengan agak tinggi.
“Jadi ini membuktikan gerak kerja, pendekatan, khidmat kepada masyarakat dinilai pengundi bukan dinilai dari segi ideologi parti masing-masing tapi kerja dan rekod pencapaian kita berkhidmat di kawasan,” katanya. – UTUSAN