MUAR: Keputusan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bakal menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa sedemikian kerana menyifatkan ia sebagai satu keputusan tidak dijangka.
“Ini soal maruah negara, hala tuju negara, keyakinan orang pada sistem perundangan kita. Dah ada prima facie, dah bawa (ke mahkamah) pun dia boleh tak teruskan pendakwaan,” katanya ketika berucap dalam Grand Finale PN Simpang Jeram di sini, malam tadi.
Beliau turut mempersoalkan pendirian DAP dalam kes Ahmad Zahid.
“Jangan tuan-tuan terkeliru bila DAP kononnya bangun minta peguam negara keluar kenyataan kenapa tarik diri, kenapa tidak teruskan pendakwaan. Siapa yang nak buat kenyataan bila peguam negara bercuti? Dia pun dah tamat dan peguam negara baharu dilantik, tapi waktu itu (keputusan kes), siapa punya arahan?,” soalnya.
Tambah Tuan Ibrahim, ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada keyakinan negara luar terutamanya dalam kalangan pelabur.
“Bila negara kita berlaku pelbagai isu, kita lihat keyakinan bukan sahaja kita, bahkan dunia mula pertikaikan apa yang sedang berlaku di Malaysia. Sebenarnya apa yang berlaku yang digambarkan nilai duit menurun, pelabur-pelabur bimbang, kerana nilai integriti yang rosak dan musnah,” katanya.
Justeru, para pemimpin sepatutnya membina keyakinan terhadap masa depan negara dan kerana itu, PN sentiasa memilih calon pilihan raya yang mempunyai integriti.
“Kami pilih tokoh dan calon yang bukan calang-calang tapi ditapis oleh Majlis Syura Ulama dalam soal integriti dan peribadi.
“Setelah Majlis Syura lulus, kita bawa pada parti, mereka pertimbang dan akhirnya kita angkat dia sebagai calon, kita yakin dan percaya pengundi akan beri undi pada Dr. Mohd. Mazri Yahya di Simpang Jeram,” katanya. – UTUSAN