ALOR GAJAH: Rekod cemerlang dipamerkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan kekuatan akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) di situ menjadi tonggak kekuatan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK), 9 September ini.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, Simpang Jeram merupakan tapak penubuhan parti berkenaan yang perlu dipertahankan, selain kerusi Parlimen Pulai turut disandang Salahuddin.
Beliau menegaskan, pencalonan golongan profesional seperti Ir. Nazri Abdul Rahman, 56, diyakini dapat meneruskan legasi perjuangan Salahuddin, di samping kemampuan jentera parti yang terbukti mampu mempertahankan DUN itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac 2022.
“Allahyarham telah memberikan khidmat yang terbaik dan kalau kita tengok dalam keadaan Amanah tidak dapat mempertahankan mana-mana kerusi, Simpang Jeram kita dapat pertahankan.
“Ramai orang tak ingat sebenarnya penubuhan Amanah itu tapaknya adalah di DUN Simpang Jeram, itu sebenarnya tapak asas parti dan kita ada kekuatan akar umbi di situ, jadi saya yakin kemenangan itu dapat diterjemahkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada 26 Ogos, pengundian awal 5 September dan hari pengundian 9 September.
PRK diadakan berikutan Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.
Tambah Adly, kerjasama baik dipamerkan antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kerajaan Persekutuan juga dilihat berupaya mengukuhkan kemenangan PH di kedua-dua kerusi.
“Saya yakin dengan kerjasama kerajaan perpaduan ini, ditambah dengan kerajaan negeri saya fikir kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Johor akan dapat diterjemahkan melalui kemenangan yang lebih baik,” jelasnya. – UTUSAN