MUAR: Tindakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang sering memainkan isu agama termasuk semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram adalah sesuatu yang tidak tergamak dilakukan oleh parti-parti Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan, walaupun calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman yang disokong Barisan Nasional (BN) tidak mewakili Pas dan PN, ia bukan bermakna beliau tidak membawa agenda Islam.
Tegasnya, Pas tidak wajar memainkan isu agama dengan mendakwa hanya calon mereka mewakili parti Islam.
“Mana dia tahu Nazri tak boleh buat kerja, tidak bersikap adil dan sebagainya? Siapa dia untuk kata siapa orang Islam, siapa kurang Islam dan siapa lebih Islam.
“Kita ini semua orang Islam, tapi kita tak nak memperalatkan agama untuk tujuan mencapai matlamat politik kita, sebab kita tak tergamak, tidak seperti Pas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi UMNO dan BN di Taman Jeram Mulia di sini, hari ini.
Tambah Mohamed Khalid, pengundi mahukan calon yang mengangkat perpaduan bukan membabitkan satu kaum sahaja, namun melibatkan semua pihak termasuk Sabah dan Sarawak.
“Saya percaya pengundi Simpang Jeram dan juga Parlimen Pulai memahami dan akan bersama menjayakan konsep perpaduan lebih besar dan bukannya hanya dihadkan satu kaum.
“Ini lebih baik untuk negara dan masa depan sebuah negara berbilang kaum kerana banyak manfaat boleh diterokai oleh masyarakat dan negara, jadi ambil manfaat dari kepelbagaian itu untuk membawa lebih kemajuan untuk negara,” katanya.
Jelasnya, beliau juga percaya Johor terus kekal dengan konsep ‘bangsa Johor’ yang menerima masyarakat pelbagai.
“Kita tekankan soal muafakat Johor, maka soal perpaduan sesuatu yang dekat dengan hati masyarakat di negeri ini,” katanya. – UTUSAN