MUKADIMAH
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Sijangkang, DATUK DR. AHMAD YUNUS HAIRI yang tiga kali memenangi kerusi tersebut sejak 2008 dan pernah menjadi Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi kini masuk bertanding untuk kali ke empat berturut-turut.
Bersama wartawan, ABDUL RAZAK IDRIS, Pesuruhjaya Pas Selangor dan juga Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkongsi misi dan visi bagi meyakinkan pengundi untuk terus menyokong perjuangannya.
UTUSAN: Apa masalah tertunggak yang YB hendak lunaskan di Sijangkang?
AHMAD YUNUS: Saya sendiri bertemu dan mendengar keluhan penduduk terhadap isu mesti segera diselesaikan, antaranya kelewatan projek jejambat Bandar Saujana Putra (BSP) yang menyebabkan kesesakan dan berlarutan hampir lima tahun, penempatan semula penduduk Kg. Darul Mujahidin, penurapan jalan di Sg. Rambai, baikpulih sekolah tahfiz dan agama, projek tebatan banjir di Taman Dato’ Hormat, termasuk klinik kesihatan, perpustakaan dan sekolah baharu.
Bagaimana Datuk begitu yakin mampu selesaikan permasalahan tersebut?
Pengalaman sebagai mantan exco dan pengetahuan dalam selok-belok pentadbiran kerajaan negeri, penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan manifesto PN adalah wajar bagi memastikan manfaat diterima oleh seluruh rakyat di negeri.
Bagaimana sambutan rakyat sepanjang kempen?
Sambutan menggalakkan, penduduk tempatan termasuk anak-anak muda bertukar pandangan dan idea bersama kami ketika bertemu mereka di sekitar Sijangkang. Jadual kempen bermula jam 6 pagi sehingga 12 malam setiap hari bagi menyantuni penduduk setempat dari pelbagai kaum termasuk komuniti masyarakat India.
Momentum PN secara keseluruhan positif atau tidak. Bolehkah menang banyak kerusi?
Ramai kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan apabila gagal melakukan pembaharuan seperti yang dijanjikan seperti turunkan harga minyak dan melarang konsert yang mempromosi Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Selangor. Insya-Allah, kita berusaha ke arah kemenangan dan kepada Allah SWT jualah kita berserah.
Tugas sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, adakah dapat dilakukan dengan berkesan sebab banyak tanggungjawab?
Tentunya keputusan yang sukar dibuat namun atas sokongan akar umbi dan permintaan pucuk pimpinan PN, menjadi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan tawaran Manifesto PN Selangor yang bernilai RM2 billion akan disalurkan kepada rakyat secara lebih efisien.