Pas sokong tindakan UMNO desak DAP berubah

Pas sokong tindakan UMNO desak DAP berubah

KHAIRUL Faizi Ahmad Kamil berucap di hadapan pengundi dalam Ceramah Kelompok PRK DUN Simpang Jeram di Bukit Batu, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pas menyokong tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mendesak supaya DAP mengubah dasar perjuangannya.

Penolong Setiausaha Agung I Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kenyataan pemimpin UMNO itu menunjukkan mereka sedar betapa sukarnya parti itu mahu mendapatkan sokongan orang Melayu jika bekerjasama dengan DAP.

Katanya, UMNO tidak perlu berdepan dengan isu perjuangan DAP jika mereka bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

“Nur Jazlan minta DAP gugurkan agenda negara sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’, ini kawan dia ini dan mereka tengah bertanding di kedua-dua kerusi di Johor. Dia minta DAP tukar slogan yang mereka perjuangkan.

“Ini yang mereka kena buat, kerana mereka tahu bahawa serangan dibuat oleh Pas selama ini UMNO selama ini, mereka merasakan bahawa penyatuan ummah dan wujudnya MN, kita lihat amannya orang Melayu di peringkat bawahan, semua orang rasakan tidak seteruk dulu, dulu geram dengan UMNO tapi hari ini kita dapat selesaikan banyak perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini, malam tadi.

Semalam, Nur Jazlan berkata, jika betul DAP benar-benar mengharapkan sokongan orang Melayu melalui kerjasama dengan UMNO kali ini, mereka juga perlu berani membuat perubahan besar untuk mencapai kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu selain daripada DAP mengugurkan agenda negara sekular dan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan parti mereka.

Jelasnya, orang Melayu hanya ada dua pilihan sama ada beralih sokongan secara keseluruhan kepada Pas atau terima kembali UMNO, justeru meminta DAP membantu memulihkan UMNO kembali menjadi parti utama di negara seperti sebelum 2018.

Dalam pada itu, Ketua Assabiqun Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dalam ceramah sama turut menyifatkan, calon PH tidak akan diterima pengundi Melayu kerana hubungan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan DAP.

“Amanah parti yang begitu akrab rapat dengan DAP yang memperjuangkan Malaysian Malaysia, dia nak ratakan semua sekali, agama pun, sebab itu bila timbul isu kalimah Allah semua orang tak setuju.

“Jelas sekali bahawa Amanah percaya dia menang dengan sokongan DAP tetapi mereka tidak menyuarakan tentang Islam, jadi jangan bagi undi kepada mereka kerana jika undi PH maka bererti tuan-tuan undi DAP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya