MUAR: Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dimulakan dengan kehadiran calon-calon bertanding di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya berbaju Melayu putih tiba kira-kira pukul 8.35 pagi sambil diiringi Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan para penyokong.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/08/WhatsApp-Image-2023-08-26-at-9.25.26-AM-600x400.jpeg)
Calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman pula tiba pukul 9.00 pagi diiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta ratusan penyokong PH dan Barisan Nasional (BN).
Antara pemimpin PH-BN yang turut mengiringi calon ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari: Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh hadir di pusat penamaan calon pukul 8.00 pagi untuk meninjau perjalanan proses.
PRK diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menang kerusi berkenaan buat kali kedua.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac 2022, PH memenangi 13 kerusi manakala BN menguasai DUN Johor dengan 40 kerusi diikuti PN tiga kerusi. – UTUSAN