MELAKA: UMNO Bahagian Alor Gajah meluahkan rasa kecewa susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mengulangi tindakannya menghadiri sebuah majlis anjuran Perikatan Nasional (PN), semalam.
Ketua Bahagiannya, Datuk Fairul Nizam Roslan menegaskan, tindakan itu ‘seperti kacang lupakan kulit’ kerana tidak mengenang jasa barisan kepemimpinan dan jentera UMNO serta Barisan Nasional (BN) yang berusaha keras memenangkannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dua tahun lalu.
Katanya, Muhammad Jailani digesa untuk berterus terang sekiranya hatinya tidak lagi bersama UMNO.
“Saya selaku Pengarah War Room Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia ketika itu bekerja keras untuk memastikan semua kepemimpinan parti dalam DUN berkenaan dapat menerima beliau dan alhamdulillah beliau dicalonkan semula.
“Tapi saya termasuk barisan kepimpinan UMNO dan rakyat DUN Rembia kecewa dengan tingkah laku beliau yang seperti sesumpah, seolah-olah jentera UMNO dan BN serta Ketua Menteri tidak pernah ada jasa kepadanya.
“Saya harap Muhammad Jailani kalau dalam hati sudah tidak ada hati bersama UMNO, sila declare (isytiharkan) kepada parti untuk terus keluar dari UMNO dan serahkan DUN Rembia kepada orang yang lebih layak memimpin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Lahir Ke-74 Yang Dipertua Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Jailani dilaporkan hadir pada sebuah majlis berprofil tinggi PN di Johor malam tadi bagi pihak Muafakat Nasional (MN).
Tambah Fairul Nizam, Muhammad Jailani dilihat mahu menjadikan tingkah lakunya itu sebagai modal untuk dipecat daripada parti.
“Semalam dia bersama-sama (Pas) dalam pengumuman calon PN di Pulai, Johor. Saya yakin tingkah laku dan strategi beliau ini hanya menunggu untuk dipecat parti supaya dia ada modal untuk mengatakan parti yang pecat dia,” ujarnya. – UTUSAN