MUAR: Perikatan Nasional (PN) optimis bahawa kemenangan Pas selama dua penggal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong sebelum ini mampu dikembalikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, tawaran seorang profesional seperti Dr. Mohd. Mazri Yahya yang banyak menabur bakti di dalam dan luar negara bakal menjadi pemangkin sokongan pengundi.
Beliau berkata, sejarah kemenangan di Sungai Abong adalah tidak mustahil untuk diulangi setelah mengambil kira sokongan positif pengundi terhadap PN.
“Kita kira ini satu perkembangan yang sangat baik, masa depan politik tanah air kita khususnya di Johor.
“Jadi penampilan kita kali ini seorang profesional, seorang yang telah banyak memberikan khidmat dalam dan luar negara dan kita rasa penduduk di Simpang Jeram ini memerlukan seorang doktor pakar sebagai wakil.
“Dulu kita pernah memenangi DUN Sungai Abong, dua penggal Pas menang dan kita hendak kembalikan sejarah itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
DUN Simpang Jeram dahulunya dikenali sebagai Sungai Abong sebelum 2018.
PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas seorang calon Bebas mengemukakan kertas penamaan.
Mohd. Mazri tiba kira-kira pukul 8.35 pagi dan mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.04 pagi.
Ia kemudian disusuli calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman yang tiba kira-kira pukul 9.00 pagi diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta ratusan penyokong PH dan Barisan Nasional (BN).
Nazri mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.08 pagi diikuti calon Bebas, S. Jeganathan pukul 9.18 pagi.
Dalam pada itu, Mohd. Mazri berkata, PN pada hari ini tidak hanya menerima sokongan pengundi Melayu sebaliknya turut disokong masyarakat bukan Melayu.
Jelasnya, perkembangan itu dilihat sebagai petanda positif bagi membawa suara rakyat dan memenangi kerusi berkenaan.
“Apa yang saya lihat pada hari ini, sokongan daripada pelbagai pihak daripada yang kecil sampai yang besar, daripada pelbagai pihak.
“Daripada muslim dan bukan muslim, Melayu atau bukan Melayu, ini merupakan petanda positif kepada PN, kita membawa gelombang suara rakyat ke selatan tanah air,” jelasnya. – UTUSAN