MELAKA: Polis memberi amaran kepada mana-mana pihak agar isu melibatkan agama, raja dan kaum (3R) tidak disentuh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebolehnya pihaknya tidak mahu membuka kertas siasatan untuk isu-isu sedemikian.
Kata beliau, penyokong parti di Johor juga perlu mempamerkan disiplin tinggi sama seperti yang ditunjukkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang lalu.
“Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku semasa hari penamaan calon pada PRN lepas. Saya amat yakin kalau di Johor ini dengan kebanggaan bangsa Johor, saya rasa mereka ini matang dalam menghadapi PRK kali ini.
“Hari ini saya akan turun ke Johor untuk mendengar taklimat persiapan yang telah dibuat bagi menghadapi PRK tersebut. Saya yakin Ketua Polis Johor dan anggotanya telah bersiap siaga,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Lahir Ke-74 Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu, Razarudin menerima pingat Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara itu, berhubung isu 13 anggota bersama seorang pegawai polis ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan sekitar Seremban, Negeri Sembilan, Razarudin berkata, beliau kecewa kerana masih terdapat segelintir menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam perkara menyalahi undang-undang.
Tegasnya, polis akan terus mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dan mengenakan tindakan tatatertib walaupun belum dituduh di mahkamah. – UTUSAN