KOTA BHARU: Pas Kelantan menegaskan sesiapa sahaja yang menjadi calon dan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti layak untuk menjadi Menteri Besar.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, perkara tersebut dibuat oleh pucuk kepimpinan Pas Pusat.
“Semua keputusan akan dibuat oleh Pas Pusat. Sesiapa yang menjadi calon dan menang, dia layak dilantik (Menteri Besar) dari segi peraturan,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Pendidikan Negeri Kelantan di Mydin Mall, Tunjong di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Pas hampir pasti meletakkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebagai ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, desas-desus peralihan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dikatakan akan berlaku sekiranya Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kemenangan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, menjelaskan ia dianggap strategi dalam kempen pilihan raya apabila Ahmad akan menyerahkan jawatan itu kepada Nik Mohd Amar dalam pertengahan penggal akan datang.
Mohd. Amar memberitahu, setiap kali pilihan raya Pas tidak akan menampilkan mana-mana pemimpinnya sebagai ‘poster boy’.
Katanya, amalan itu telah dilakukan sejak dari dahulu sehingga hari ini.
“Tidak pernah lagi dalam sejarah Pas ada ‘poster boy’, kalau saya macam mana boleh jadi ‘poster boy’, orang dan tua berumur 60 tahun..
“Dakwaan itu (poster boy) saya tidak tahu, malah saya bertanding atau tidak pun saya tidak tahu lagi,” ujarnya.-UTUSAN