MELAKA: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang didakwa terpalit dengan kontroversi skandal seks tampil memberi penjelasan selepas hampir dua hari isu itu ditularkan dalam media sosial.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, penyebaran beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp dan video berunsur seksual yang dikatakan melibatkan dirinya adalah satu pertuduhan yang sengaja direka cipta.
Tegasnya, beliau menafikan terlibat melakukan perkara-perkara seperti digambarkan dalam tangkap layar itu, termasuk rasuah seks sebagai habuan membantu saudara kepada seorang wanita bagi mendapatkan projek melibatkan pemasangan menara telekomunikasi.
“Ini semua adalah satu fitnah yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasi saya. Selaku pemimpin kerdil, saya anggap ini adalah asam garam politik. Dalam masa yang sama saya anggap ini satu ciptaan dan rekaan yang mana hari ini, siap ada perbualan WhatsApp.
“Saya tidak pernah memberi rasuah secara seks atau apa-apa kepada mana-mana individu. Jadi saya berasa sebenarnya seram apabila tengok perbualan itu. Mana-mana yang mengenali diri saya ataupun kawan teman rapat, saya yakin mereka tahu siapa diri saya.
“Sudah tentu saya pun kenal diri saya sendiri. Saya cuma ingin mengambil kesempatan ini, kerana saya baru balik dari bercuti, jadi sebab itu saya tidak keluarkan apa-apa kenyataan. Tetapi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang tolong menjawab,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang di sini, hari ini.
Pada Selasa lalu, Ab. Rauf menegaskan isu skandal seks yang didakwa membabitkan seorang Exco Melaka sebagai satu fitnah.
Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, dalam dunia siber serba moden pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam media sosial.
Tambah Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, penularan video itu mula dikesan dan disebarkan sehari sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu yang menyaksikan, beliau menang jawatan Ketua UMNO Bahagian menewaskan penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan kelebihan empat undi.
Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, Rais bagaimanapun tidak memberi jawapan yang jelas sebaliknya berkata, akan meneliti pelbagai aspek sebelum sebarang tindakan diambil.
“Banyak pihak bertanya kepada saya, sebagai contoh sebenarnya yang menuduh saya ini pencuri, tak kan saya nak buat laporan polis, sepatutnya rumah dia yang kena curi tu kena buat laporan polis.
“Saya juga ingin menginsafi diri sendiri dan juga kita semua, supaya kita berhati-hati dalam apa juga yang kita lakukan. Saya berharap kita hentikan polemik politik ini,” ujarnya. – UTUSAN