Skandal seks: Ketua Menteri bertanggungjawab arahkan Rais lapor

Skandal seks: Ketua Menteri bertanggungjawab arahkan Rais lapor polis

MOHAMAD ALI Mohamad dalam sidang akhbar khas di Baitul Tariq, Klebang Permai, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri perlu mengambil tanggungjawab mengarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang didakwa terpalit dengan skandal seks agar membuat laporan polis dengan kadar segera.

Desakan itu disuarakan bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini, malam tadi.

Mohamad Ali berkata, kontroversi yang sedang melanda Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin itu dilihat bukan sahaja mendatangkan impak negatif buat UMNO, tetapi turut memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat berhubung kredibiliti kerajaan negeri baharu pimpinan Ab. Rauf.

Jelasnya, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput tidak perlu diarah bercuti, sebaliknya wajib membuat laporan polis bagi membersihkan namanya, seterusnya dapat menoktahkan sebarang persoalan ditimbulkan masyarakat terutama serangan dalam media sosial.

“Saya melihat kepada Ab. Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka dan Ketua Menteri yang baharu, beliau mesti menunjukkan imej yang baik di kalangan rakyat. Kerana sebagai Ketua Menteri yang baru memegang tampuk pemerintahan ini, beliau mesti tunjukkan bahawa dalam kalangan pimpinan Exco terutamanya, mesti orang yang bukan sahaja bersih tetapi mesti dilihat bersih.

“Beliau mesti mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan dan kita akan memberikan sokongan yang penuh kepada Ab. Rauf jika beliau berani mengambil tanggungjawab supaya kerajaan ini adalah kerajaan yang dianggotai oleh mereka ataupun pemimpin yang benar-benar bersih.

“Tak bagi cuti Rais pun tak apa. Sekadar minta Rais bersihkan diri. ‘Kau telah merosakkan imej kerajaan hari ini, kau pergi buat laporan polis bersihkan nama kau’. Itu sahaja benda paling mudah. Cuti-cuti ini nanti orang kata cuti terus, cuti sampai habis,” katanya yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Exco Melaka yang didakwa terpalit dengan kontroversi skandal seks tampil memberi penjelasan selepas hampir dua hari isu itu ditularkan dalam media sosial.

Rais berkata, penyebaran beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp dan video berunsur seksual yang dikatakan melibatkan dirinya adalah satu pertuduhan yang sengaja direka cipta.

Tegasnya, beliau menafikan terlibat melakukan perkara-perkara seperti digambarkan dalam tangkap layar itu termasuk rasuah seks sebagai habuan membantu saudara kepada seorang wanita bagi mendapatkan projek melibatkan pemasangan menara telekomunikasi.

Tambah Mohamad Ali, beliau menafikan dakwaan bahawa dirinya merupakan dalang yang memulakan penyebaran tangkap layar dan video berkenaan bagi mencalarkan imej Rais setelah tewas dalam Pemilihan UMNO baru-baru ini untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Saya tampil pada malam ini setelah saya berdiam diri sekian lama adalah untuk menjelaskan, ramai kawan-kawan Rais dalam Facebook banyak menghina, menghentam saya seolah-olah saya dalang.

“Alhamdulillah pagi tadi (semalam) saya dapat WhatsApp daripada Datuk Zaharin Mohd. Yasin yang telah bersumpah laknat, dia dengan secara jujur dan berani menyatakan dia tidak pernah menerima apa-apa bahan daripada saya.

“Ini sumpah yang dilafazkan oleh Zaharin dan saya amat mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana secara tidak langsung beliau telah membersihkan nama saya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya