JASIN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa pembentukan kerajaan perpaduan atau Kerajaan Madani seperti di peringkat Persekutuan bakal wujud di Melaka.
Perkara itu dinyatakan secara terbuka oleh Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam di sini, hari ini.
Meskipun tidak menyatakan secara jelas sama ada bakal berlaku rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk memberi ruang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menjadi sebahagian kerajaan negeri, Presiden UMNO itu menjelaskan dalam sidang akhbar bahawa, sebarang keputusan akan dibuat selepas perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
“Perbezaan agama disantuni, keharmonian diberikan keutamaan. Inilah satu keindahan apatah lagi di dalam sebuah Kerajaan Madani yang terbentuk sekarang ini di peringkat Persekutuan.
“Insya-Allah di Melaka belum terbentuk Kerajaan Madani, tapi ke arah itu mungkin ada. Pemberita jangan tanya perkara ini kepada saya.
“Itu saya akan bincangkan dengan Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi BN Melaka,” katanya.
BN Melaka menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti PH dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan sumbangan kepada lapan pusat tahfiz berserta duit raya dan lima geran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bernilai RM60,000.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memulangkan semula pasportnya yang ditahan, Ahmad Zahid berkata, ia membolehkan beliau melaksanakan tugas-tugas rasmi khususnya lawatan rasmi dan menghadiri mesyuarat atau persidangan peringkat antarabangsa.
“Tentunya ini memberikan makna cukup baik untuk saya dan saya menghargai mahkamah, khususnya kepada ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan peguam-peguam saya untuk yang arif memberi keputusan itu,” jelasnya. – UTUSAN