MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meninggalkan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada pukul 11.03 pagi tadi.
Usaha pengamal media untuk mendapatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu gagal selepas kenderaan rasmi yang membawanya tidak berhenti.
Menerusi tingkap kereta yang diturunkan, Sulaiman hanya memberikan reaksi dengan mengangkat tangan kepada pengamal media.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 20 pengamal media berkumpul di hadapan Seri Negeri sejak pukul 8 pagi tadi bagi menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam hari ini.
Presiden UMNO itu dijangka tiba pada bila-bila masa bagi mempersembahkan nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu, setelah Sulaiman melepaskan jawatannya.
Hari terakhir Sulaiman berkhidmat sebagai pemimpin nombor satu di Melaka dipercayai adalah hari ini, memandangkan beliau masih memasuki pejabatnya di Seri Negeri menggunakan kenderaan rasmi pada pukul 8.59 pagi.
Turut kelihatan memasuki pusat pentadbiran kerajaan negeri itu juga adalah kenderaan rasmi milik Mohd. Ali kira-kira pukul 9.53 pagi. – UTUSAN