MELAKA: Kira-kira 20 pengamal media berkumpul di hadapan Seri Negeri, Ayer keroh di sini sejak pukul 8 pagi tadi bagi menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam hari ini.
Presiden UMNO itu dijangka tiba pada bila-bila masa bagi mempersembahkan nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu, setelah penyandang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali melepaskan jawatannya.
Hari terakhir Sulaiman berkhidmat sebagai pemimpin nombor satu di Melaka dipercayai adalah hari ini, memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu masih memasuki pejabatnya di Seri Negeri menggunakan kenderaan rasmi pada pukul 8.59 pagi.
Turut kelihatan memasuki pusat pentadbiran kerajaan negeri itu juga adalah kenderaan rasmi milik Mohd. Ali kira-kira pukul 9.53 pagi.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, spekulasi pertukaran tampuk kepemimpinan kerajaan negeri terjawab apabila Ahmad Zahid mengesahkan peletakan jawatan Sulaiman.
Ahmad Zahid berkata, beliau sudah bertemu Sulaiman kelmarin dan menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka bagi memilih calon Ketua Menteri yang baharu. – UTUSAN