Isu Ketua Menteri Melaka: Tunggu pengumuman sedikit masa lagi

Isu Ketua Menteri Melaka: Tunggu pengumuman sedikit masa lagi – Ab. Rauf

SULAIMAN Md. Ali (kiri) dan Ab. Rauf Yusoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang dikatakan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu pada pukul 3 petang, Jumaat ini meminta pengamal media menunggu pengumuman bakal dibuat oleh ‘mana-mana pihak’ dalam masa terdekat, berhubung khabar angin itu.

Meskipun tidak menamakan secara jelas siapa pihak yang akan membuat pengumuman tersebut, ia dipercayai merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Ab. Rauf ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Badan Perhubungan UMNO Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan berhubung spekulasi berkenaan.

“Saya tidak boleh memberikan apa juga komen tentang spekulasi ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang akan memberikan pengumuman, sedikit sahaja masa lagi,” katanya ringkas.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, spekulasi pertukaran tampuk kepemimpinan Ketua Menteri sekali lagi bertiup kencang hari ini selepas tular maklumat yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri yang baharu bakal berlangsung Jumaat ini.

Maklumat berkenaan mendakwa, Ab. Rauf akan mengangkat sumpah pada pukul 3 petang, menggantikan penyandang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan respons Sulaiman selepas mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak berhasil apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu enggan bertemu dengan pengamal media.

Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Nasharuddin Muhammad memaklumkan, Sulaiman tidak bersedia untuk mengulas perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya