MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu, berkuatkuasa hari ini.
Majlis mengangkat sumpah jawatan telah berlangsung di Pejabat Ketua Menteri Melaka, Seri Negeri di sini pagi tadi di hadapan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Roslan yang berusia 56 tahun pernah menyandang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri.
Beliau juga adalah bekas ADUN Merlimau selama tiga penggal sejak 2011.
Mula berkecimpung dalam politik sejak 1989, beliau yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) kini merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin sejak 2018. – UTUSAN