Ab. Rauf Ketua Menteri Melaka Ke-13

Ab. Rauf Ketua Menteri Melaka Ke-13

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, kira-kira pukul 3.33 petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama.

Turut hadir isteri Mohd. Ali, Toh Puan Asmah Abd. Rahman; bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum; isteri Ab. Rauf, Datin Seri Zuriyah Ab. Aziz dan barisan ADUN.

Ab. Rauf, 61, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka dicalonkan UMNO bagi menggantikan Sulaiman yang melepaskan jawatannya berikutan masalah kesihatan.

Beliau turut menjawat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Ini merupakan kali kedua Melaka melaksanakan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021.

Ab. Rauf memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara dalam PRN Melaka dengan majoriti 364 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

Pada PRN tersebut, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi DUN Melaka iaitu lebih dua pertiga, diikuti PH dengan lima kerusi dan PN dua kerusi.

Ini membolehkan Sulaiman yang ketika itu merupakan poster boy mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12 seperti mana dijanjikan BN dalam manifesto pilihan raya.

Bagaimanapun, istiadat angkat sumpah yang dilakukan pukul 12.58 tengah malam pada 21 November 2021 telah menimbulkan pelbagai polemik politik dan spekulasi percakaran dalaman.

Dalam pada itu, semasa pengambilalihan kerajaan negeri daripada PH pada Mac 2020, Ab. Rauf yang ketika itu bukan ADUN dilantik memegang jawatan Yang Dipertua DUN Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN