Mohd. Rafiq kembali kepada UMNO

Mohd. Rafiq kembali kepada UMNO

MOHD. RAFIQ Naizamohideen (kiri) mengadakan pertemuan dengan Ahmad Maslan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen mengesahkan permohonannya menyertai semula UMNO berkuatkuasa 18 Mac ini telah diluluskan semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Menurutnya, kemasukannya kembali bukan kerana kedudukan UMNO yang kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya sedar keputusan yang saya buat untuk menyertai UMNO ketika ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui serta tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

“Namun saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan Allah.

“Saya serta rakan-rakan telah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dan menyokong UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi, ketika belum lagi diketahui kedudukan parti mana yang bakal mentadbir negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

MOHD. RAFIQ Naizamohideen mengadakan sidang akhbar peletakan jawatannya dalam Bersatu di sebuah hotel di Pantai Puteri, Melaka sebelum PRU15. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Rabu lalu, Mesyuarat Pengurusan UMNO dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan telah meneliti permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu sebelum diajukan kepada MKT yang bersidang, semalam.

Tambah Mohd. Rafiq, beliau membuat keputusan untuk menyertai semula UMNO setelah berbincang dengan kenalan dan ahli keluarga, sebelum membuat keputusan menghantar permohonan beberapa minggu lalu.

“Saya sedar, kehadiran saya ke dalam UMNO bukan ketika UMNO melalui zaman kegemilangannya, seperti sebelum ini sebaliknya UMNO melalui cabaran terhebat dalam sejarahnya kerana hanya berjaya memperoleh 26 kerusi Parlimen pada PRU15,” ujarnya.

Jelasnya, beliau ikhlas serta bertekad dan beriltizam untuk membantu serta berjuang bersama kepemimpinan UMNO untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada Presiden, Timbalan Presiden; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, ahli MKT dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad kerana memberi peluang untuk saya kembali berjuang bersama UMNO,” katanya.

Sebelum ini, Mohd. Rafiq yang juga bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO digantung keahlian selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin pada 2016.

Beliau dikenakan hukuman tersebut atas satu pertuduhan iaitu didapati menghasut dan merancang untuk melakukan sabotaj terhadap Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya