KANGAR: Disebalik kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri tekad bangkit dalam keadaan lebih kuat dalam mendepani pilihan raya akan datang.
Disebalik kekalahan tersebut, UMNO negeri ini juga akan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat meskipun sudah tidak mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha UMNO negeri, Azizan Sulaiman berkata, beberapa langkah akan diambil oleh kepemimpinan parti di peringkat negeri membabitkan perubahan cara bekerja di samping melakukan penambahbaikan bagi meraih semula sokongan rakyat.
Katanya, semangat ahli-ahli parti itu masih kukuh dan mereka turut berfikiran positif untuk bergerak ke hadapan.
“Kita kekal positif dan bergerak terus ke hadapan cuma mungkin akan ada perubahan daripada segi bekerja dan beberapa penambahbaikan lain.
“Walaupun berlaku arus perubahan namun dari segi semangat ahli-ahli masih komited untuk bekerja buat parti dan tiada sebarang masalah yang berlaku di peringkat dalaman,” katanya.
Dalam PRU15, BN berdepan kekalahan besar di negeri ini termasuk gagal memenangi mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih kerajaan negeri ini selepas lebih 60 tahun.
Dalam pilihan raya tersebut, BN kalah semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen.
Mengulas mengenai faktor kekalahan BN di Perlis, Azizan berkata, pembangkang telah bertindak menanam kebencian dalam kalangan rakyat sehingga memperlihatkan seolah-olah parti itu berdepan masalah dalaman.
“Mereka menanam kebencian terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan kes mahkamah dihadapi beliau sehingga menyebabkan ahli parti sendiri membenci tanpa usul periksa.
“Kebencian yang ditanam terhadap presiden itu telah terpalit kepada semua calon yang bertanding di kawasan DUN dan Parlimen pada PRU15,” katanya.
Tambahnya, pertambahan pengundi baharu juga menjadi antara faktor yang menyebabkan parti itu gagal mempertahankan kemenangan mereka pada PRU15.
“Daripada segi logik, memang pengundi baharu lebih memilih PN di Perlis, namun ia juga berpunca daripada penularan isu semasa dan tindakan pembangkang menanam kebencian terhadap UMNO dan BN,” katanya.- UTUSAN