Wan Razali tidak gentar cabaran Fuziah, Abd. Hamid di Kuantan - Utusan Malaysia

Wan Razali tidak gentar cabaran Fuziah, Abd. Hamid di Kuantan

WAN RAZALI Wan Nor menunjukkan isyarat bagus ketika melakukan ziarah rumah ke rumah di Kampung Peramu di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Berdepan cabaran dua nama besar di Parlimen Kuantan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini tidak menggentarkan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi itu, Wan Razali Wan Nor.

Mengakui calon PH, Fuziah Salleh selaku penyandang dan calon BN, Datuk Seri Abd. Hamid Nazahar cukup dikenali kerana merupakan ‘orang lama’ di situ, namun beliau menganggap dalam politik segalanya tidak mustahil.

Ini kerana kata Wan Razali, momentum sokongan rakyat terhadap PN ketika ini termasuk di Parlimen Kuantan cukup luar biasa dan memberangsangkan.

“Daripada segi cabaran, saya tidak boleh kata siapa di hadapan, saya tidak boleh kata Fuziah di depan, Datuk Hamid di depan atau saya di depan. Cuma bagi pihak saya, kita kena terus bekerja keras menyantuni rakyat di kawasan Parlimen Kuantan.

“Cuma daripada segi sambutan rakyat cukup luar biasa, kita pun pernah bekerja dalam pilihan raya sebelum ini namun kali ini (PRU15), gelombangnya cukup menarik yang dilihat memihak kepada PN,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada PRU15 ini, Parlimen Kuantan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Wan Razali, Fuziah, Abd. Hamid dan Mejar (B) Anuar Mohd. Tajuddin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mengulas lanjut, Wan Razali berkata, tidak mustahil PN dapat merampas Parlimen Kuantan berdasarkan momentum sokongan rakyat yang mahukan perubahan di sini.

“Selain itu, anak muda di sini mereka perlu suara orang muda untuk dibawa ke Dewan Rakyat dan seterusnya masyarakat Kuantan itu sendiri mereka menagih orang muda untuk buat kerja dan mereka perlukan tenaga yang boleh diharapkan bagi membangunkan Kuantan,” katanya.

Ditanya tentang aspek pembaharuan bandaraya ini, beliau berkata, jika dipilih sebagai wakil rakyat di sini, beliau akan memberikan tumpuan daripada sudut pelancongan.

“Untuk pembaharuan insya-Allah kita akan lihat daripada sudut pembangunan pelancongan, Kuantan ada pantai yang cantik, kita akan lihat bagaimana untuk memajukan lagi sektor pelancongan di sini.

“Kuantan ini merupakan hab pelancongan dan juga gerbang Pantai Timur, jadi banyak perkara kita boleh terokai di Parlimen Kuantan,” jelasnya.

Berhubung soal tawaran kepada rakyat, Wan Razali berkata, antara yang akan diberi tumpuan soal capaian internet yang masih perlahan di beberapa lokasi di bandaraya ini.

“Kita berada di ibu negeri, tidak sepatutnya perkara tersebut berlaku, ada lokasi-lokasi internet perlahan, perkhidmatan Unifi belum ada, jadi dalam tawaran PN, kita akan fokus kepada internet berkelajuan tinggi supaya ia selari dengan apa diperlukan pengundi,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru pengundi di Parlimen Kuantan termasuk pengundi luar supaya keluar dan balik mengundi, Sabtu ini.

“Bersamalah dengan PN. Pilihlah pemimpin terbaik dan diyakini boleh berjuang dan membawa suara rakyat di Parlimen Kuantan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN