Thanenthiran tidak gentar hadapi saingan calon berpengalaman - Utusan Malaysia

Thanenthiran tidak gentar hadapi saingan calon berpengalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri RS Thanenthiran, 59, tidak gentar menghadapi saingan empat penjuru termasuk daripada calon berpengalaman seperti Datuk Othman Mansor yang merupakan penyandang kerusi tersebut bagi dua penggal berturut-turut.

Beliau yang juga Presiden Makkal Sakti Malaysia (Makka Sakti) berkata, jentera parti itu sudah cukup bersedia dan komited menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan sahaja di Parlimen Nibong Tebal, malah untuk kerusi Parlimen lain yang dipertandingkan.

“Tiada perkataan gentar dalam kamus hidup saya, kerana saya amat optimis dengan kemenangan di Parlimen Nibong Tebal pada 19 November kelak.

“Walaupun ada empat penjuru, tapi saya rasa persaingan yang sihat akan berlaku dan kami di BN berjanji tidak akan mengggunakan fitnah, menghina atau menjatuhkan imej (parti lawan) ataupun menyerang karakter calon (character assassination) ketika berkempen,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia di pejabat UMNO cawangan Nibong Tebal selepas selesai proses penamaan calon Dewan Serbaguna Jawi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan bekas guru memberi jaminan akan menyelesaikan isu air yang membelenggu penduduk di situ sejak 15 tahun lalu sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen selain menyelesaikan isu kekurangan perumahan mampu milik serta infrastruktur.

“Saya tidak janji bulan bintang, namun akan cuba sedaya upaya membela nasib rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu-isu yang perlu diselesaikan dengan segera,” katanya yang menambah akan komited melaksanakan aktiviti berkempen bersama jentera UMNO dan parti komponen lain bagi memastikan kerusi tersebut milik BN.

PRU14 menyaksikan kerusi Parlimen Nibong Tebal dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket PKR selepas mendapat sebanyak 35,395 undi menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) (19,578 undi) manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) (6,875 undi) dan Tan Tee Beng (Bebas) (331 undi). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya