MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong berikrar menyelesaikan beberapa isu membabitkan nelayan dan petani jika pengundi memberi kepercayaan dan mandat semula kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden MCA itu berkata, dua perkara tersebut adalah sebahagian daripada isi kandungan manifesto yang akan diperincikan serta diumumkannya selepas sesi penamaan calon esok.
Ban Hong menegaskan, selain itu soal penyuraian trafik, pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi setempat khususnya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) turut menjadi tumpuannya.
Beliau turut memberi jaminan pelan pembangunan yang dirancang di Tangga Batu akan merangkumi semua kaum tanpa mengetepikan mana-mana pihak.
“Saya akan melaksanakan semua ini jika diberi kepercayaan dan mandat oleh seluruh pengundi di Tangga Batu kerana visi, misi dan hala tuju adalah sejajar dengan polisi kerajaan negeri yang diterajui BN.
“Pelan pembangunan yang dirancang adalah untuk semua pihak tanpa mengira kaum kerana ini adalah janji manifesto yang akan saya umumkan sedikit masa lagi. Tangga batu adalah kampung halaman saya kerana dilahirkan di Kampung Cheng selain mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Cheng dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek Cheng dan mengapa tidak saya diberi peluang berkhidmat di sini?,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ban Hong berkata, rakyat perlu memilih BN kerana parti itu dapat memberikan perkhidmatan yang baik mencakupi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Katanya, berdasarkan sokongan positif pengundi di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput, beliau yakin BN mampu merampas kembali kerusi yang tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
“Semalam saya berjalan di Pantai Kundor, Tanjung Minyak dan pagi ini di Sungai Udang serta Paya Rumput nampaknya pengundi memberi sokongan atas pemilihan saya bertanding di sini. Ini petanda positif bagi saya dan BN,” ujarnya. – UTUSAN