KUANTAN: Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri setelah tiada parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, demi kepentingan BN, adalah lebih baik parti itu bekerjasama dengan PH berbanding dengan Perikatan Nasional (PN).
“Jika BN bekerjasama dengan PH, jawatan menteri besar insya-Allah dapat dikekalkan milik UMNO.
“Kalau bersama PN, tentunya mereka mahu jawatan itu kerana memiliki kelebihan satu kerusi. Dalam politik, siapa yang mempunyai majoriti boleh menuntut jawatan menteri besar,” katanya di sini.
Pada PRU15, BN menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PH lapan kerusi dan PN (17 kerusi).
Selepas keputusan PRU15 Sabtu lalu, kerajaan Pahang ‘tergantung’ kerana tidak ada mana-mana gabungan parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
PH Pahang bersetuju menjalin kerjasama dengan BN negeri bagi membentuk kerajaan negeri yang tergantung selepas PRU15.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, tiada masalah BN kerjasama dengan PH kerana parti itu yang mempunyai sokongan di bandar boleh memberi tumpuan menjaga kawasan itu melalui portfolio diberikan.
“BN pula boleh menjaga kawasan-kawasan majoriti Melayu dan kampung supaya masalah rakyat dapat diberikan tumpuan dan diselesaikan,” katanya. – UTUSAN