Shahril Hamdan harap ‘nombor satu’ bawa tuah - Utusan Malaysia

Shahril Hamdan harap ‘nombor satu’ bawa tuah

SHAHRIL Sufian Hamdan (tengah) bergambar bersama penyokong BN ketika hadir pada Hari Penamaan Calon di luar Pusat Penamaan Calon Pilihanraya Umum Ke-15 di Dewan Taming Sari UITM Lendu, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan berharap nombor calonnya iaitu angka satu bakal menjadi petanda baik ke arah kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, beliau bersyukur dengan sokongan dan penerimaan jentera BN Bahagian Alor Gajah terhadapnya yang disifatkan padu, di bawah kepemimpinan Pengerusi Bahagian, Datuk Rospandi Leman.

Jelasnya, meskipun berdepan pertembungan empat penjuru dan kesemua calon dipertaruhkan ialah Melayu, beliau tidak melihat perkara itu sebagai sentimen perkauman, sebaliknya sesuatu yang positif iaitu memberi lebih pilihan kepada pengundi.

“Saya mendapat nombor calon, nombor satu. Jadi saya harap itu juga petanda yang baik biarlah keputusan pun serupa dengan nombor calon yang telah dipilih tadi. Saya rasa ini bukan sentimen kaum atau apa-apa sahaja, yang penting ialah pengundi-pengundi di P135 ini ada pilihan.

“Ada empat pilihan antara empat masa depan, antara empat calon antara empat parti semuanya dengan tawaran-tawaran tersendiri. Saya mengharapkan apabila telah tamat tempoh berkempen, mereka akan memilih bahawa calon BN dan parti BN dan masa depan yang ditawarkan oleh BN itulah yang akan dipilih oleh pengundi di Alor Gajah.

“Alhamdulillah saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana penyokong-penyokong hari ini adalah jentera dari Bahagian Alor Gajah itu sendiri. Maknanya BN Alor Gajah di bawah kepemimpinan Datuk Rospandi dan semua dalam BN Alor Gajah ini memang sudah bersiap sedia, sebelum nama saya diumumkan lagi,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Parlimen Alor Gajah di Dewan Taming Sari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Alor Gajah di sini hari ini.

Shahril ditentang tiga lawan iaitu calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman; bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga calon Pakatan Harapan (PH) dan penyandang kerusi, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mewakili Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Shahril berkata, beliau mahu memberi fokus terhadap konsep pertanian moden dalam kalangan belia di kawasan berkenaan, sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Jelas Naib Ketua Pemuda UMNO itu, perkara tersebut adalah antara bahan kempen dalam siri jelajah bertemu 93,324 pengundi di Parlimen berkenaan.
“Jadi saya mohon sokongan dan undi rakyat khususnya anak muda kepada saya untuk datang dengan idea visi dan kemahuan untuk meluaskan lagi potensi Alor Gajah.

“Masih banyak potensi Alor Gajah belum dicapai antara contoh adalah bidang pertanian yang nampak boleh dimodenkan dan dimajukan dengan dibantu sektor pendigitalan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya