Selepas Jasin, Bersatu Tangga Batu pula lumpuh - Utusan Malaysia

Selepas Jasin, Bersatu Tangga Batu pula lumpuh

MOHD. ZAINUDDIN Salehan bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Tangga Batu, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira seminggu selepas kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin mengumumkan keluar parti, hari ini secara mengejut Bersatu Bahagian Tangga Batu pula lumpuh apabila 17 daripada 20 kepemimpinan tertinggi termasuk ahli jawatankuasanya mengumumkan peletakan jawatan.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Tangga Batu, Mohd. Zainuddin Salehan berkata, mereka adalah antara 530 daripada keseluruhan 8,000 ahli Bersatu di Parlimen berkenaan yang mengambil keputusan sama untuk keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat untuk mengikut jejak langkah bekas Ketua Bahagian, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang meletakkan jawatan Naib Presiden Bersatu pada 30 Oktober lalu.

Beliau berkata, ini bermakna keseluruhan bahagian berkenaan lumpuh selepas semua pucuk pimpinan termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Ketua Bersekutu, Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan 13 ahli jawatankuasa mengundurkan diri.

“Ini bermakna Bahagian Tangga Batu perlu menubuhkan satu jawatankuasa penaja yang baharu bagi menggantikan kami yang mengundur diri dan berhenti sebagai ahli Bersatu.

“Keputusan ini kami ambil selepas berbincang dan memikirkan secara mendalam yang akhirnya, kami mengambil keputusan keluar daripada parti ini untuk mengikut Mohd. Rafiq.

“Kami dan rakan-rakan yang lain akan meneruskan perjuangan, kerja-kerja sukarelawanan dan khidmat bakti menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Tangga Batu yang akan ditubuhkan Mohd. Rafiq tidak lama lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Bersatu Bahagian Tangga Batu di sini hari ini.

Mohd. Rafiq mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta selepas tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu, walaupun telah enam tahun berkhidmat di Tangga Batu sejak 2016.

Pada 5 November lalu, Bersatu Bahagian Jasin berkubur apabila sebahagian besar kepemimpinan bahagian, cawangan dan Srikandi mengumumkan perkara sama.

Mengulas lanjut, Mohd. Zainuddin berkata, beliau menjangkakan lebih ramai ahli bahagian itu bakal mengikut jejak langkah keluar daripada Bersatu.

“Buat masa ini kami tidak akan terlibat dengan mana-mana parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebaliknya akan memberi fokus bergerak membantu rakyat melalui platform NGO,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya