PRU15: Rosli yakin PN, Pas pertahan DUN Tanjung Lumpur - Utusan Malaysia

PRU15: Rosli yakin PN, Pas pertahan DUN Tanjung Lumpur

ROSLI Abdul Jabar (depan, dua dari kiri) menyantuni anak muda dalam program bersama golongan itu di Sungai Isap Murni di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar yakin gabungan tersebut terutama Pas dapat mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Rosli yang juga penyandang kerusi itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan momentum sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap PN di DUN Tanjung Lumpur.

“Ke mana sahaja kita pergi dalam tempoh kempen PRU15 ini, momentum sokongan rakyat terhadap calon PN di Tanjung Lumpur sangat tinggi. Malah kita melihat ada rakyat yang kita kenalpasti mereka dulu daripada UMNO, golongan atas pagar, mereka memberi sokongan secara terbuka kepada kita.

“Ini menunjukkan bahawa perkhidmatan pihak pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur sepanjang penggal lalu yang telah diberikan amanah, kita dapat melaksanakan dengan baik sehingga kita dapat melihat ia dapat menawan hati masyarakat sehingga momentum pada PR15 ini begitu besar, kuat berbanding lalu.

“Jadi, insya-Allah kita yakin momentum ini akan berterusan sehingga hari mengundi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ditanya penerimaan rakyat tentang logo dan bendera PN, Rosli yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, walaupun pada mulanya memberi sedikit kesukaran kerana timbul kekeliruan masyarakat, namun ia berjaya diatasi ekoran publisiti meluas di media sosial dan arus perdana.

“Boleh dikatakan sehingga kini tidak ada lagi kekeliruan dan di mana-mana kita turun merayu undi dan sebagainya, boleh dikatakan seluruh rakyat sudah mengenali PN.

“Kalau di DUN Tanjung Lumpur, Parlimen Kuantan dan DUN Inderapura, ke mana sahaja kita pergi, rakyat membabitkan pelbagai lapisan usia mereka kenal logo PN, jadi tidak timbul masalah bagi kami.

“Di Tanjung Lumpur, apabila keluar meraih undi, pengundi sebut ustaz Rosli PN, mereka tak sebut lagi ustaz Rosli Pas, jadi ini menunjukkan soal logo itu tidak ada masalah,” katanya.

Berhubung pengundi muda, beliau berkata, di Parlimen Kuantan, DUN Tanjung Lumpur, Inderapura dan Teruntum, momentum sokongan golongan itu termasuk mereka yang pertama kali mengundi pada PRU15 ini berpihak kepada PN.

“Kita lihat anak muda khususnya pengundi kali pertama ini memberikan sokongan pada kita. Ini juga berdasarkan pola sokongan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang mana pengundi kali pertama tidak beri (undi) kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tetapi kepada PN.

“Kalau trend ini berterusan, kita akan dapat sekurang-kurangnya 30 peratus undi muda dan jumlah itu boleh membawa kemenangan PN untuk mentadbir Pahang jika momentum pengundi muda kekal sebagai mana di PRN Johor,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyeru pengundi DUN Tanjung Lumpur termasuk pengundi luar supaya keluar dan balik mengundi, 19 November ini kerana ia tanggungjawab penting untuk menentukan soal hala tuju negara dan negeri ini.

“Mengundi adalah kuasa untuk kita memilih pemimpin bagi membentuk sebuah kerajaan. Baik buruk sebuah kerajaan itu bergantung kepada kepimpinan dan kepimpinan itu hanya akan dapat memerintah, berkuasa dengan sebab undi.

“Jadi jangan sampai kita mengalami kerugian atau kesengsaraan kerana mendapat pemimpin yang tidak mengambil berat tentang rakyat, korupsi sebab kita yang memangkah undi tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya