PRU15: Pok Sham sedia bawa pembaharuan di DUN Semambu - Utusan Malaysia

PRU15: Pok Sham sedia bawa pembaharuan di DUN Semambu

KHAIRUL HISHAM Omar tau Pok Sham (dua dari kanan) bertemu anak muda di Futsal Legend di Kampung Tiram di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Wakil rakyat yang bakal dipilih oleh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini perlu bekerja ibarat menjaga sebuah Parlimen.

Ini kerana dengan jumlah pemilih berdaftar yang melebihi 61,000 orang, DUN Semambu mencatatkan lebih ramai pengundi berbanding kerusi Parlimen Cameron Highlands, Lipis, Maran dan Kuala Krau.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Semambu, Khairul Hisham Omar berkata, biarpun gerak kerja di situ seakan sebuah Parlimen, namun ia bukan halangan baginya.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Pok Sham berkata, selepas PRU14 yang menyaksikan pelbagai hasutan dan fitnah terhadap BN, angin perubahan rakyat dapat dilihat pada PRU15 ini termasuk di DUN Semambu.

“Kini saya lihat rakyat khususnya di Semambu telah sedar, mereka menilai parti politik mana yang ikhlas dan benar-benar membela nasib rakyat.

“Rakyat menilai dengan pelbagai tawaran dibuat oleh parti politik dan wakil rakyat terdahulu, namun ia tidak dilaksanakan, pembangunan tidak sampai kepada rakyat di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengulas lanjut, Pok Sham berkata, pemimpin berintegriti adalah yang mendahului rakyat dan berkongsi keresahan mereka sebagaimana dilaksanakan oleh BN.

“Pemimpin yang dipilih itu adalah jambatan antara rakyat dan kerajaan. Penting untuk rakyat di DUN Semambu ini memberikan kepercayaan khususnya kepada BN pada pilihan raya umum (PRU) ini.

“Rakyat harus melihat ini (PRU15) adalah ruang bagi mereka untuk menzahirkan apa yang mereka kehendaki,” katanya.

Menurutnya, beliau akan memberikan tumpuan kepada pembangunan belia dan anak muda di kawasan tersebut dengan memanfaatkan dan menambah baik semua kemudahan serta fasiliti sedia ada.

Beliau berkata, semua kemudahan yang tersedia merangkumi sukan, perniagaan dan aktiviti sosial anak muda perlu dimanfaatkan selain menambah fasiliti bersesuaian dengan keperluan semasa golongan belia dan anak muda.

“Dari segi kemudahan untuk orang muda kita perlu menaiktarafkan dengan apa yang ada pada hari ini begitu juga dengan orang-orang veteran yang perlu kita ambil perhatian dari segi soal kesihatan, kebajikan yang perlu kita beri perhatian,” katanya.

DUN Semambu menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU15 ini antara Pok Sham, calon Pakatan Harapan (PH), Chan Chun Kuang, calon Perikatan Nasional (PN), Zulfadhli Zakariah dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rashidah Abdul Rahman.

Pada PRU14 lalu, DUN Semambu dimenangi calon PKR, Lee Chean Chung apabila memperoleh 14,991 undi dengan majoriti 5,511 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Yusuf Hashim (9,480 undi) dan calon BN, Quek Tai Seong (7,323 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya