PRU15: Naib Ketua UMNO Jerantut tanding Bebas di DUN Pulau Tawar - Utusan Malaysia

PRU15: Naib Ketua UMNO Jerantut tanding Bebas di DUN Pulau Tawar

RIDZUAN Mansor (tengah) bersama sebahagian ahli parti Bebas menunjukkan baju T berlogo Gajah menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 di DUN Pulau Tawar, di Kampung Temin di Jerantut, Pahang. - HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Menjelang penamaan calon esok, UMNO Jerantut kecoh apabila Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Ridzuan Mansor memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ridzuan yang juga pemangku Timbalan Ketua Bahagian itu mendakwa tidak berpuas hati dengan pemilihan calon dalam kalangan ahli jawatankuasa tidak mengikut hierarki sebenar dengan meletakkan calon muda serta mereka yang ‘sepatutnya’ bertanding pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

“Saya berasa dikhianati oleh tangan ghaib dalam UMNO bahagian ini yang tidak memilih calon yang sepatutnya yang sudah bekerja keras selama ini.

“Pandangan saya, cara pemilihan yang tidak mengikut hierarki dan calon yang layak serta lebih berketerampilan seolah-olah mahu membunuh karier politik mereka serta memancas peluang (calon) berkenaan,” katanya kepada pemberita di kediamannya Kampung Temin di sini hari ini.

Menurut Ridzuan, dengan meletakkan calon muda yang tidak mengikut hierarki yang sebenarnya juga didakwa beliau juga boleh membunuh karier politik lebih awal jika calon dipilih tidak memenangi PRU15 ini.

“Saya tetap mematuhi keputusan pemilihan yang dibuat oleh Ketua Bahagian ini, tetapi agak hairan mengapa dalam kalangan ahli jawatankuasa yang layak serta sepatutnya tidak dicalonkan.

“Ini menunjukkan kelemahan pengurusan dan pentadbiran UMNO bahagian ini dengan mengetepikan calon yang lebih layak dan inilah menyebabkan saya memilih bertanding sebagai calon Bebas untuk memberikan pengajaran serta menghapuskan ‘kudis’ dalam (UMNO) bahagian ini,” katanya.

Ridzuan berlata, dia memilih untuk bertanding di DUN Pulau Tawar kerana kawasan itu merupakan kampung kelahirannya, ramai ahli keluarga serta kenalannya malah sudah hadam dengan pengundi di kampung tradisional pesisir Sungai Pahang dan kawasan Felda.

“Saya sudah bertekad akan melawan habis-habisan menegak kebenaran dan bersedia untuk disingkirkan daripada UMNO berasaskan peraturan disiplin parti ini.

“Bagaimanapun, roh saya masih tetap dengan UMNO kerana parti inilah yang membentuk kepimpinan serta pengalaman saya setelah berjuang hampir 25 tahun dalam UMNO bahagian dan DUN,” katanya.

Tegasnya, menjelang penamaan calon esok, beliau sudah menutup pintu rundingan dengan semua pihak terutama di UMNO Bahagian Jerantut dan enggan menarik balik tekadnya untuk bertanding sebagai calon Bebas tanpa menoleh ke belakang lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya