PRU15: Mimi yakin BN rampas DUN Jengka - Utusan Malaysia

PRU15: Mimi yakin BN rampas DUN Jengka

NORHASMIMI Abdul Ghani (berdiri, tengah) ketika tinjauan mesra dan bertemu pengundi muda di Felda Jengka 16 di Kuala Krau, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAU: Menjelang hari pengundian esok, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Norhasmimi Abdul Ghani yakin dapat merampas kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang mesra dipanggil Mimi berkata, keyakinan itu bersandarkan momentum sokongan rakyat di situ yang cukup memberangsangkan.

“Dalam siri kempen kali ini, nampak sokongan rakyat di DUN Jengka ini cukup positif inginkan perubahan.

“Insya-Allah, jika sokongan ini berterusan sehingga hari mengundi esok, saya yakin BN dapat merampas kerusi DUN Jengka,” katanya ketika ditemui di Felda Jengka 16 di sini.

Pada PRU15 ini, DUN Jengka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Norhasmimi dicabar penyandang kerusi tersebut dari PN, Shahril Azman Abdul Halim dan Jamaluddin Abd. Rahim (PH).

Mimi berkata, jika diberi mandat oleh pengundi di DUN Jengka, isu melibatkan generasi kedua Felda antara isu utama yang akan diberikan perhatian olehnya membabitkan pekerjaan dan perumahan.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri pada masa ini yang memperkasakan skim rumah makmur dan prima bagi generasi kedua malah sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan pelaburan sebanyak RM20 bilion yang sudah tentu limpahannya akan di bawa ke Jengka.

“Inilah antara isu yang mampu diselesaikan oleh BN yang telah terbukti mampu membawa perubahan dan membantu rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap semua pengundi di DUN Jengka membuat pilihan bijak pada PRU15 ini demi kestabilan dan kemakmuran negara pada masa akan datang.

Menurutnya, pengundi perlu memilih parti mampu membawa kestabilan negara terutama dalam sektor ekonomi, yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada pengundi-pengundi baharu kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya