MARAN: Gelombang penerimaan rakyat menyokong dan memilih Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul semakin terasa sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, gelombang dan momentum itu dapat dilihat dalam siri jelajah dan kempen dilaksanakan sehingga kini.
“Dalam siri jelajah saya sehingga kini, sambutan rakyat kepada PN di Kuala Sentul cukup baik, bagi saya ia memberangsangkan dan boleh dikatakan di luar jangkaan.
“Ramai pengundi yang kita jumpa menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi, jika perkara ini berterusan sehingga hari pengundian, 19 November ini, insya-Allah kita boleh menang,” katanya ketika ditemui di Sungai Jerik di sini hari ini.
Jasri berkata, sepanjang 10 hari tempoh kempen sebelum ini, beliau sudah menjelajah ke seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Kuala Sentul, ceramah, mengadakan program ziarah rumah ke rumah dan kejohanan sepakan penalti untuk anak muda di kawasan itu.
“Sepanjang tempoh kempen ini, ada beberapa isu dikenalpasti antaranya padang di Felda Jengka 3 yang terabai seperti langsung tidak dijaga.
“Terdapat juga isu perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai di Felda Jengka 1. Projek ini difahamkan dijanjikan pada PRU13 lalu namun masih belum siap.
“Masalah penduduk khususnya generasi kedua Felda adalah perumahan, insya-Allah saya akan fokus kepada isu ini apabila dipilih mewakili rakyat di Kuala Sentul selepas PRU15 ini,” katanya.
Memasuki minggu akhir kempen, beliau berkata, beliau akan meneruskan siri jelajah ke PDM dan ziarah dari rumah ke rumah.
“Apa yang penting pada minggu akhir ini mendekati seramai mungkin pengundi di kawasan tumpuan.
“Sasaran saya untuk bertemu dan bersua muka dengan lebih 80 peratus pengundi dalam kawasan DUN Kuala Sentul ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengingatkan bahawa, 19 November ini adalah penentuan buat pengundi memilih masa depan diri, anak cucu dan generasi muda masa depan.
Menurutnya, pengundi diharap menggunakan akal fikiran yang bijak pada PRU15 ini supaya sebuah kerajaan yang bersih dan mementingkan rakyat dapat dibentuk.
“Ia (penentuan) bukan setakat menentukan masa depan kita tapi ia adalah untuk anak cucu kita,” katanya. – UTUSAN