PRU15: 'Chegu Thanen' tidak akan lari dari Nibong Tebal jika menang - Utusan Malaysia

PRU15: ‘Chegu Thanen’ tidak akan lari dari Nibong Tebal jika menang

CALON BN kerusi Parlimen Nibong Tebal, RS Thanenthiran ketika turun padang berjumpa dengan pengundi di kawasan itu dalam kempen PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran yang diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Nibong Tebal tidak akan lari daripada para pengundi sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Thanenthiran yang lebih mesra dipanggil ‘Chegu Thanen’ berkata, beliau sedar pengundi sudah pasti tidak akan mempercayai janji-janji calon yang akan bertanding memandangkan mereka pernah ‘terkena’ dengan calon-calon sebelum ini.

”Bagaimana saya nak lari, saya orang sini, rumah saya pun 20 minit sahaja dari sini (kawasan Nibong Tebal).

”Orang akan kata ini janji politik (takkan lari), saya memang kena duduk sini, beri saya peluang selama lima tahun, kalau saya tidak buat kerja jangan pilih saya lagi selepas itu, malah saya sendiri tidak akan bertanding lagi,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Nibong Tebal, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertandingan empat penjuru yang mana Thanenthiran akan berdepan penyandang kerusi itu, Datuk Mansor Othman daripada Perikatan Nasional (PN-Bersatu); Fadhlina Sidek (PH-PKR) dan calon Bebas, Goh Kheng Huat.

Thanenthiran yang berusia 59 tahun berkata, setakat ini penerimaan masyarakat terhadapnya amat baik termasuk ketika beliau memasuki kawasan-kawasan yang merupakan kubu kuat parti lawan.

“Sebelum ini orang BN tidak boleh masuk kawasan-kawasan berkenaan, namun ketika saya turun padang saya dapati penerimaan masyarakat amat baik dan menyenangkan.

”Tidak ada seorang pun dalam kawasan itu bercakap kasar atau menolak kedatangan saya, malah mereka beritahu saya masalah-masalah yang mereka hadapi di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Thanenthiran berkata, menerusi pemerhatian dan aduan daripada penduduk, beliau mendapati Nibong Tebal jauh terkebelakang dari segi pembangunan infrastruktur selain peluang pekerjaan juga amat kurang.

”Hampir 15 tahun di sini tidak ada pembaharuan langsung, yang ada lampu jalan sahaja, boleh dikatakan penduduk di sini ramai yang berhijrah dan mencari pekerjaan di luar.

”Sekiranya saya dipilih, saya mahu menjadikan Nibong Tebal sebagai hab kejuruteraan negara memandangkan di sini ada kampus kejuruteraan USM, jadi lebih mudah untuk merealisasikan misi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya