PRU15: Calon PN anggap peluang 50-50 di Permatang Pauh - Utusan Malaysia

PRU15: Calon PN anggap peluang 50-50 di Permatang Pauh

MUHAMMAD FAWWAZ MAT JAN dan SITI MASTURA MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Peluang bagi calon Perikatan Nasional (PN) memecah legasi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Permatang Pauh masih ada sekiranya berjaya memperoleh undi daripada pengundi muda di kawasan itu.

Calon PN daripada Pas yang dipertaruhkan di kerusi Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan berlakunya pertambahan pemilih muda yang akan mengundi buat pertama kali.

“Peluang untuk menang di kerusi Parlimen Permatang Pauh saya kira 50-50 memandangkan kita ada pertambahan pengundi muda.

“Kali ini, siapa yang berjaya mendekatkan diri dengan pengundi muda akan dapat peluang untuk menang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad Fawwaz dijangka menentang penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar (PKR) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said serta Mohd. Nasir Othman (GTA).

Pada PRU14, Muhammad Fawwaz bertanding mewakili Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti namun tewas kepada calon PKR, Dr. Norlela Ariffin.

Menurut Muhammad Fawwaz, beliau dan calon PN lain sudah mempunyai strategi tersendiri untuk mendekati pengundi-pengundi muda di kawasan yang ditandingi kelak dan yakin mampu menarik kumpulan pengundi itu memillih PN.

Dalam pada itu, calon tunggal wanita PN, Dr. Siti Mastura Mohamad yang dipertaruhkan di kerusi Parlimen Kepala Batas berkata, pilihan raya kali ini adalah pengalaman kedua baginya selepas turut bertanding di kerusi sama pada PRU14.

“Kali ini saya lebih berkeyakinan dengan bantuan jentera Pas dan PN yang ada untuk memasuki gelanggang PRU15.

“Pencalonan wanita di kerusi ini juga adalah satu amanah dan penghormatan yang diberikan kepada muslimat dan generasi muda,” katanya.

Siti Mastura yang merupakan Naib Ketua Dewan Muslimat Pas negeri berkata, dia juga mahu menarik lebih ramai pengundi muda untuk mengundi PN di kerusi Parlimen Kepala Batas.

“Sasaran kita di Parlimen Kepala Batas ialah pengundi muda dan kita fokuskan isu-isu yang berkaitan dengan generasi muda seperti soal pemilikan rumah dan banyak lagi,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN