PRU15: Calon baharu, muda diyakini beri kemenangan BN Pahang - Utusan Malaysia

PRU15: Calon baharu, muda diyakini beri kemenangan BN Pahang

WAN ROSDY Wan Ismail (tiga dari kiri) menyantuni pengantin baharu pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat DUN Batu Talam di Tapak Pekan Sehari Felda Tersang Tiga di Raub, Pahang. - HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Strategi Barisan Nasional (BN) Pahang meletakkan calon baharu dan muda diyakini mampu memberikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN Pahang sudah menganalisis pelbagai perkara bersama ketua-ketua UMNO bahagian termasuk pucuk pimpinan tertinggi parti komponen seperti MCA dan MIC di negeri ini sebelum meletakkan calon berkenaan.

“Misalnya, BN Pahang meletakkan muka baharu, Datuk Chong Sin Woon bertanding di Parlimen Raub kerana beliau diyakini ada ketokohan dan berwibawa serta mampu memberikan kemenangan kepada BN.

“BN Pahang akur calon yang dikemukakan oleh MCA dan bertanding atas tiket BN ini sudah pastinya terdiri daripada calon yang cukup layak sekali gus boleh memenangi hati pengundi sehingga membawa kepada kemenangan bagi kerusi kawasan yang ditandingi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam di Tapak Sehari Felda Tersang Tiga dekat sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, Sin Woon berpengalaman dalam arena politik dan pernah memegang jawatan penting selaku Timbalan Menteri Pendidikan dari 2015 hingga 2018.

Katanya, Sin Woon juga merupakan seorang yang berpengalaman luas kerana pernah beberapa jawatan penting termasuk dilantik menjadi Setiausaha Agung kepada Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap warga Felda terus memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada BN pada PRU15 ini.

“Apa yang penting rakyat jelas melihat kejayaan yang dicapai oleh kerajaan negeri dalam semua bidang pembangunan di semua kawasan, manakala perolehan cukai yang tinggi, kita (kerajaan negeri) pulangkan sebagai tanda prihatin kepada mereka (rakyat) yang memerlukan.

“Kita (BN) akan meneruskan melaksanakan dasar pembangunan negeri ini termasuk meningkatkan kutipan cukai sekiranya sekali lagi mandat diberikan oleh rakyat pada PRU15 ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya