PN sedia serah jawatan Menteri Besar Pahang kepada BN - Utusan Malaysia

PN sedia serah jawatan Menteri Besar Pahang kepada BN

TUAN IBRAHIM Tuan Man ketika berucap pada majlis jamuan kesyukuran rakyat DUN Cheka di Dataran Kerambit di Lipis, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Perikatan Nasional (PN) Pahang sedia menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada Barisan Nasional (BN) dalam usaha merealisasikan pembentukan kerajaan negeri yang masih tergantung ketika ini membabitkan dua gabungan parti tersebut.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun BN perlu memenuhi beberapa syarat dan tuntutan selari kekuatan PN yang menang 17 kerusi berbanding BN 16 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Beliau berkata, antara tuntutan itu, tiga daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diberi kepada PN, jumlah ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) sama banyak dan yang dipertua DUN milik PN.

“Saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang.

“Insya-Allah sinar harapan itu ada di mana-mana, PN Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” katanya pada majlis jamuan kesyukuran rakyat DUN Cheka di Dataran Kerambit di sini semalam.

PRU15 lalu menyaksikan Pahang merekodkan sejarah buat kali pertama apabila gagal menubuhkan kerajaan negeri selepas tiada parti memperolehi majoriti menyaksikan PN menang 17 kerusi manakala BN menang 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi.

Susulan itu juga berlaku perbincangan antara wakil PH dan wakil PN dengan Wan Rosdy, namun sehingga kini tiada keputusan dibuat.

Tuan Ibrahim berkata, selepas PRU15, kekuatan parti di Pahang hampir seimbang yang mana tidak ada mana-mana parti boleh menubuhkan kerajaan kecuali melalui sokongan daripada parti lain.

“Oleh itu permuafakatan politik PN dan BN merupakan jalan terbaik demi perpaduan ummah dan kestabilan di negeri ini.

“PN bersedia bertolak ansur menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada BN walaupun kita menang lebih satu kerusi yang diberi mandat oleh pengundi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya