Parlimen Alor Setar perlu ‘sentuhan’ anak tempatan

Parlimen Alor Setar perlu ‘sentuhan’ anak tempatan

TAN Chee Hiong (tengah) bersama Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustapa (kanan) menyantuni peniaga di Pekan Cina ketika mengadakan tinjauan mesra di Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Selepas dua penggal Parlimen Alor Setar diwakili individu berasal dari luar Kedah, calon Barisan Nasional (BN), Tan Chee Hiong bertekad untuk mengembalikan kawasan itu ke tangan anak jati yang cukup masak dengan selok-belok daerah serta keperluan masyarakat di sini.

Malah menurut individu berusia 43 tahun itu, statusnya selaku individu yang lahir, membesar dan ‘mencari makan’ di bandar raya ini diyakini mampu memenangi hati pengundi termasuk masyarakat Melayu yang mendominasi 63 peratus jumlah pengundi di situ.  

Selain itu katanya, sokongan dinyatakan UMNO Bahagian Alor Setar yang sudah pun bekerja dan memberi komitmen untuk membantunya meraih kemenangan secara tidak langsung turut diyakini mampu menambat hati rakyat untuk memberi undi kepadanya.

“Sebelum ini pun UMNO dan MCA sebenarnya tak pernah bergaduh sebaliknya kami saling memberi pandangan untuk memastikan kemenangan BN di Alor Setar. Apabila sudah diputuskan MCA bertanding, UMNO terus beri sokongan dan melaksanakan kerja-kerja bagi membantu kemenangan BN di sini.

“Kami berterima kasih terhadap usaha UMNO itu. Perlu diakui, jentera UMNO di sini cukup hebat dan kerja-kerja dijalankan jentera Jalinan Rakyat (JR) mereka itu amat berkualiti.

“Sehingga sekarang, saya yakin tiada masalah untuk kami mendapatkan sokongan masyarakat Melayu apatah lagi MCA telah membuktikan bahawa kami bukanlah parti rasis dan telah berjuang bersama-sama UMNO dalam BN demi negara sejak sekian lama,” katanya dalam sesi temubual bersama media, di sini, hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, UMNO bahagian itu berikrar membantu kemenangan BN meskipun hasrat mereka untuk bertanding di kawasan Parlimen itu tidak tercapai.

Menurut Yusof, jentera UMNO di Parlimen tersebut sudah digerakkan sejak seminggu lalu bagi menggempur Alor Setar termasuk di kubu-kubu lawan.

Mengulas lanjut Chee Hiong berkata, pembangunan di kawasan Alor Setar yang merupakan ibu negeri Kedah dilihat agak perlahan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Katanya, keadaan itu mungkin disebabkan oleh kurangnya perhatian daripada dua Ahli Parlimen Alor Setar daripada PKR sebelum ini yang bukan berasal dari sini.

“Bagi saya PKR hanya melihat Alor Setar ini sebagai tiket untuk mereka mendapatkan kerusi serta bergaduh di Parlimen sahaja. Mereka bertanding di sini, bukannya kerana betul-betul mahu berkhidmat untuk rakyat di sini.

“Kajian pihak bebas baru-baru ini juga menunjukkan di Alor Setar ini ramai pengundi yang dulunya mengundi Pakatan Harapan sudah menyatakan hasrat memberi undi kepada BN. Undi masyarakat Cina yang dulunya kurang lima peratus kini tampak boleh meningkat ke paras 12 peratus dan tak mustahil mampu melonjak lebih tinggi menjelang hari pengundian,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya