ALOR GAJAH: “Jadual sepatutnya saya bergotong-royong dengan jemaah di sini pagi ini. Tapi saya telah dimaklumkan oleh ahli jawatankuasa (AJK) surau yang mereka tak dapat terima kehadiran saya, atas sebab-sebab tertentu.
“Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh”.
Itu luahan penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) setelah aktiviti berkempennya yang telah dijadualkan berlangsung di sebuah surau di sini pagi tadi, dipercayai dibatalkan pada saat akhir.
Katanya, beliau telahpun tiba di hadapan surau berkenaan sebelum dimaklumkan oleh AJK bahawa kehadirannya tidak dapat diterima atas sebab-sebab yang tidak didedahkan.
“Teringat dulu masa awal surau ini dibuat. Saya dengan kawan-kawan Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah buat program di sini.
“Dan ada permintaan daripada jemaah untuk saya buatkan jalan tar untuk ke surau sana bagi kemudahan jemaah. Telah pun saya luluskan waktu itu.
“Apa pun saya doakan semoga urusan mereka semua dipermudahkan. Saya? Ini nak mencari tempat minum di Pekan Kuala pula tiba-tiba tekak jadi haus, jom,” katanya melalui hantaran di laman sosial Facebooknya sebentar tadi.
Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka itu ditentang calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid; calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar. – UTUSAN