TASEK GELUGOR: Kehadiran calon luar Perikatan Nasionl (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan bertanding di Parlimen Tasek Gelugor bukan satu masalah ekoran kemodenan sistem komunikasi berupaya menghubungkan pemimpin dan rakyat dengan pantas.
Bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, platform rangkaian internet dan media sosial memudahkan urusan pemimpin biarpun berada di luar kawasan.
Katanya, lebih 20 peratus kawasan Parlimen diwakili pimpinan mahupun calon yang bukan dari kawasan sama.
“Alasan tidak boleh jumpa pemimpin pada zaman sekarang bukan isu kerana kemodenan yang ada dapat menghubungkan kita dalam beberapa saat sahaja.
“Masa saya jadi Ahli Parlimen dulu pun, saya bertugas di Kuala Lumpur tetapi urusan pentadbiran Tasek Gelugor tetap berjalan lancar disebabkan saya amat memahami kawasan ini.
“Tambahan pula, setiap Ahli Parlimen ada pegawai dan wakil yang bertugas di kawasan, maka tidak timbul masalah sekiranya calon yang dipilih bukan daripada kawasan setempat,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan PN, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Shabudin berkata, keupayaan Ahli Parlimen bukan dinilai mengikut kawasan semata-mata, sebaliknya turut dipilih untuk menjalankan tugas sebagai pembuat dasar di Parlimen.
Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, beliau sudah berada di Tasek Gelugor sejak dua minggu lalu untuk memperkenalkan diri dan bermesra dengan pengundi setempat.
“Apa yang boleh saya katakan setakat ini penerimaan masyarakat amat memberangsangkan.
“Walaupun ada pengundi yang ditemui beritahu mereka sokong Pas, tetapi selepas saya maklumkan yang saya juga mewakili suara parti itu, mereka menerimanya dengan terbuka dan menyatakan sokongan terhadap PN,” katanya. – UTUSAN