ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan isteri, Datin Seri Munira M. Yusop selesai membuang undi di saluran dua pada pukul 9.24 pagi tadi.
Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu tiba di pusat pembuangan undi (PPU) di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun dekat sini pukul 8.50 pagi.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid hadir ke PPU sama kira-kira pukul 9.25 pagi dan selesai mengundi 10 minit kemudian.
Abdul Hakim berdepan saingan empat penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; calon Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang juga penyandang kerusi tiba di SK Ramuan China Besar pukul 8.05 pagi dan selesai membuang undi 10 minit kemudian.
Handrawirawan mengundi di SK Ayer Limau, sementara Mutalib mengundi di luar Masjid Tanah iaitu di Parlimen Tambun, Perak. – UTUSAN