Khairuddin mahu terus perjuang sekolah menengah agama di Pulau Manis - Utusan Malaysia

Khairuddin mahu terus perjuang sekolah menengah agama di Pulau Manis

KHAIRUDDIN Mahmud (depan, dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta Kejohanan Sepak Takraw Tertutup DUN Pulau Manis di Sri Damai, Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud akan terus memperjuangkan pembinaan sekolah menengah kebangsaan (agama) jika sekali lagi diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Khairuddin berkata, beliau sudah tiga penggal sejak PRU12 lalu berjuang untuk pembinaan sekolah itu namun ia belum dapat direalisasikan.

“Sekolah menengah kebangsaan (agama) ini perlu dibina kerana di Kuantan belum ada sekolah seperti ini yang dimiliki oleh Persekutuan.

“Tapak seluas 8.09 hektar telah pun disediakan di jalan utama Jalan Kuantan-Pekan bersebelahan Taman Indera Sempurna untuk pembinaan sekolah menengah agama tersebut.

“Adalah menjadi hasrat saya jika terus diberikan mandat pada PRU15 ini untuk terus berjuang supaya sebuah sekolah menengah kebangsaan (agama) milik Persekutuan dibina dalam kawasan Pulau Manis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengulas dakwaan berlaku penolakan beliau sebagai calon BN di DUN Pulau Manis, Khairuddin berkata, calon baharu sudah dikemukakan untuk bertanding di situ pada PRU15 ini, namun terdapat halangan yang tidak membolehkannya bertanding.

“Sebab itu Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hubungi saya dan maklum saya kena bertugas semula. Saya bukan calon dibuang, disingkir tetapi dipilih oleh parti atas muafakat bersama.

“Tapi ada pihak tidak faham. Calon ditampilkan tetap calon kita (BN), jadi kita perlu memberikan sokongan supaya Pulau Manis terus kekal milik BN pada PRU15 ini,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkempen yang kini di fasa terakhir, momentum sokongan rakyat terhadap BN memberangsangkan.

“Insya-Allah jika terus diberikan mandat, saya akan memberikan fokus kepada beberapa perkara antaranya pertanian, perumahan dan isu-isu setempat termasuk dalam kalangan anak muda di Pulau Manis.

“Memang ada isu berbangkit, sebagai contoh anak muda minta campur tangan secara terus dari kepimpinan setempat dalam memberikan perhatian kepada mereka.

“Isu membabitkan anak muda akan terus diberikan keutamaan termasuk fokus mewujudkan peluang pekerjaan dan kestabilan ekonomi,” katanya.

Menjelang hari pengundian 19 November ini, beliau berharap pengundi khususnya di DUN Pulau Manis membuat pilihan bijak memilih calon dan parti yang mempunyai rekod serta pencapaian yang baik.

“Setiap satu undi mereka penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya