BAYAN BARU: Pembinaan sebuah hospital kerajaan di daerah Barat Daya adalah antara yang akan diperjuangkan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kerusi Parlimen Bayan Baru, Oh Tong Keong sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, hospital kerajaan itu dilihat satu keperluan mendesak memandangkan pertambahan mendadak penduduk di kawasan itu ketika ini.
Jelas beliau, hospital kerajaan di daerah Barat Daya itu juga mampu mengatasi masalah kesesakan di hospital awam, Hospital Pulau Pinang (HPP) ketika ini yang turut menjadi tumpuan penduduk dari luar Pulau Pinang.
Selain itu katanya yang juga Timbalan Presiden Gerakan, beliau juga akan cuba menangani isu pentadbiran Sekolah Menengah Heng Ee Cawangan Bayan Baru yang telah lama tertangguh sekiranya mendapat mandat daripada pengundi pada 19 November ini.
“Parlimen Bayan Baru merupakan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai di bahagian pulau iaitu kira-kira 120,000 pengundi.
“Maka, wakil rakyat di Parlimen ini memikul tanggungjawab besar untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang dapat dimanfaatkan semua lapisan masyarakat dan kerajaan PN bersedia serta mampu memenuhi kehendak mereka,” katanya di sini hari ini.
Pada PRU15 kali ini, Tong Keong akan berdepan saingan enam penjuru termasuk penyandang kerusi itu, Sim Tze Tzin daripada Pakatan Harapan (PH); Saw Yee Fung (MCA); Jeff Ooi (Warisan); Ravinder Singh (PRM) dan calon Bebas (Kan Chee Yuen).
Dalam pada itu Tong Keong berkata, beliau juga akan menubuhkan pusat khidmat di Bayan Baru dan membangunkan kios dan pasukan perkhidmatan di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Bayan Baru sekiranya dipilih pengundi bagi memastikan usaha memberi khidmat kepada rakyat lebih tersusun.
Sementara itu, beliau turut menggariskan beberapa projek yang dirancang sekiranya PN diberi mandat di Parlimen itu antaranya membina pusat sukan; menyediakan Pusat Transformasi Bandar (UTC); menubuhkan lokasi perniagaan khas komuniti India – Little India Bayan Baru; menyediakan kawasan perniagaan kecil berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang dan banyak lagi. – UTUSAN