GWGF optimis BN menang 50 dari 54 kerusi Parlimen di Felda - Utusan Malaysia

GWGF optimis BN menang 50 dari 54 kerusi Parlimen di Felda

ROZALI Ismail (tengah) hadir pada majlis pelancaran Kelab Permotoran Strorm Rider Junior Peringkat Negeri Pahang di Felda Jengka 12 di Jerantut, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) optimis Barisan Nasional (BN) mampu menang di 50 daripada 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Parlimen Felda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Presiden GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan terhadap calon semakin meningkat malah majoriti warga Felda sudah patah balik menyokong BN setelah menolak pada PRU14.

Menurutnya, pada PRU14, BN hanya menang di 27 kerusi Parlimen dalam kawasan tanah rancangan menurun berbanding 48 ketika PRU13 lalu.

“Kehadiran saya turun padang di rancangan Felda seluruh negara jelas mendapati trend sokongan terhadap calon BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) meningkat hasil kempen berfakta tanpa janji dan harapan menggunung.

“Justeru itu warga Felda yang daripada generasi pertama, kedua dan ketiga Felda termasuk pengundi baru perlu memberi undi solid kepada calon BN yang menjadi harapan kita orang Felda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Permotoran Strorm Rider Junior Peringkat Negeri Pahang di Felda Jengka 12 di sini.

Rozali berkata, sasaran GWGF supaya BN mendapat jumlah kerusi yang selesa dan dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa gabungan dengan parti politik lain.

Tegasnya, apabila kerajaan baru dibentuk dan BN dominan, ia akan memudahkan semua agenda pembangunan yang dirangka termasuk bagi membela masyarakat Felda di seluruh negara.

Menurutnya, GWGF mengambil ketetapan tegas dan jelas menyokong BN dalam PRU15 ini setelah mengambil kira rekod buruk kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang banyak menyusahkan rakyat dan masyarakat peneroka Felda

Beliau dalam pada itu merayu lebih 135,000 ahli GWGF berdaftar dari 317 tanah rancangan membabitkan 11 wilayah mengundi calon BN sekali gus menyumbang pembentukan kerajaan yang kukuh dan kuat.

Beliau berkata, sokongan tidak berbelah bahagi terhadap BN juga mengambil kira faktor dan rekod lampau parti itu di samping pencapaian yang dilaksanakan dari pasca merdeka hingga kini.

“Jangan lupa jasa dan pengorbanan pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan yang mewujudkan Felda dan mengangkat martabat warganya setanding dengan masyarakat moden negara ini,” tambahnya.

Sementara itu, katanya, Kelab Permotoran Storm Rider Junior yang kini mempunyai lebih 30,000 ahli sebagai medan kepada anak muda berusia antara 16 hingga 30 tahun mengamalkan pemanduan berhemah.

“Setiap ahli didedahkan adab pemanduan selamat, kempen keselamatan jalan raya, pemanduan berhemah dan berkonvoi pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya